PEMBACA berita kanak-kanak Al Hijrah Kids News (dari kiri), Qistina Zahra, Umar dan Adam.
PEMBACA berita kanak-kanak Al Hijrah Kids News (dari kiri), Qistina Zahra, Umar dan Adam.
Nor Akmar Samudin


Walaupun tahu bukan mudah untuk ‘mengarah’ kanak-kanak supaya mendengar cakap, produksi TV AlHijrah yang menerbitkan program baru, Al Hijrah Kids News sanggup menggalas cabaran itu demi melahirkan generasi baru yang mampu membentuk jati diri dan menjadi penggerak bangsa pada masa depan.

Rakaman untuk slot berita kanak-kanak itu juga perlu dibuat mengikut masa mereka iaitu pada sebelah pagi kerana ketika itu mereka masih segar dan bertenaga.

Al Hijrah Kids News mula bersiaran 31 Mac lalu dan wajah comel yang muncul membacakan berita itu berusia empat hingga 10 tahun iaitu Umar Shakur Mohd Haiccal, Syed Zaheed Alwee Syed Alman Zain, Syarifah Khadeeja Syed Alman Zian, Qistina Zahra Abd Rahman dan Adam El Farees Ahmad Fadzli.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah Izelan Basar berkata, Al Hijrah Kids News tampil bertemakan laporan tempatan dan antarabangsa merangkumi isu pendidikan, kesihatan, sains, teknologi, sukan, seni dan bakat alam kanak-kanak.

“Kami yakin 33 peratus kanak-kanak di negara ini akan menikmati pengalaman baru apabila mereka memiliki segmen berita sendiri dalam lenggok bahasa yang mereka fahami dan kandungan berita yang pastinya dekat di hati mereka.

“Apa saja yang menarik minat kanak-kanak akan ditampilkan dalam berita itu, “ katanya.

Al Hijrah Kids News disiarkan pada Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 2.15 petang selama 15 minit manakala ulangan pada jam 5 petang.

Walaupun ia berita kanak-kanak, ia sesuai untuk semua penonton.

Tiga lagi program baru di TV AlHijrah ialah Berita Arab (jam 6 petang), Assalamualaikum (setiap hari jam 7 hingga 8 pagi) dan Betul Ke Ustaz? (Isnin hingga Khamis jam 7 hingga 8 pagi).

Tanpa skrip

Tiada skrip disediakan untuk kanak-kanak terbabit, sebaliknya akan diberi satu topik dan pihak produksi akan memberikan mereka input.

Izelan berkata, kanak-kanak itu akan menyampaikannya dengan cara mereka sendiri dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.

“Bekerja dengan kanak-kanak memang seronok, tetapi ia bukan tugas mudah. Ketika rakaman, hanya jurukamera saja yang berada dalam studio. Ini kerana mereka akan gugup jika diperhatikan ramai orang,” katanya.

Izelan berkata, pihaknya akan terus mencari pembaca Berita Kanak-Kanak, tetapi bukan menerusi uji bakat biasa.

“Kebanyakan ibu bapa hari ini suka menularkan apa saja yang anak mereka lakukan dalam media sosial. Dari situlah kami akan menilai bakat mereka.

“Kami juga menggalakkan ibu bapa menghantar video anak mereka dan selepas disenarai pendek, barulah mereka dipanggil ke studio. Kanak-kanak itu mestilah berusia tiga hingga 10 tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2017 @ 2:36 AM