PROGRAM Langit Terang membantu anak asnaf mengubah hidup mereka.
PROGRAM Langit Terang membantu anak asnaf mengubah hidup mereka.
Nor Akmar Samudin


Bila mendung berlalu,

langit terang.

Bila awan larat beredar,

langit terang.

Bila gerhana berakhir,

langit terang.

Bait kata-kata di atas memberi harapan kepada pelajar asnaf yang kurang bernasib baik untuk menikmati kehidupan seperti kanak-kanak lain.

Di sebalik kesusahan pasti ada kemudahan dan kesenangan yang menunggu asalkan jangan putus asa, terus berikhtiar dan berdoa kerana sesungguhnya Allah SWT itu Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.

Bagi memberi kehidupan yang lebih baik kepada anak-anak asnaf itu, TV AlHijrah menerbitkan program Langit Terang yang membuka jalan kepada mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. Hanya melalui pendidikan nasib mereka dan keluarga akan berubah.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Izelan Basar berkata, program itu akan memberi inspirasi, teladan dan harapan kepada penonton terutama ibu bapa dan pelajar.

“Program ini terbitan bersama TV AlHijrah dengan Pelaburan Hartanah Berhad (PHB) dan Amanah Hartanah Bumiputera (AHB) yang bertindak sebagai rakan kolaborasi merangkap penaja utama,” katanya.

Langit Terang yang diterbitkan sebanyak 26 episod bersiaran setiap Khamis, jam 9 malam bermula 9 Februari lalu.

“Program ini dipenuhi warna-warni kehidupan dan setiap apa yang berlaku pasti ada rahmat di sebaliknya. Semoga semangat yang ada pada pelajar asnaf itu dapat mengubah masa depan mereka dan menjadi teladan kepada remaja lain untuk berjaya di dunia dan akhirat.

“Judul program ini jelas menggambarkan matlamat dan objektif penerbitannya. Di sebalik kepayahan, ada kekuatan. Dalam kesuraman, sendu dan tangisan pasti akan hadir sinar serta harapan untuk mereka,” katanya.

Jelas Izelan, 26 pelajar yang memenuhi kriteria dipilih sebagai responden. Mereka akan diberikan peluang memajukan diri dan meneruskan pengajian dengan lebih baik melalui bantuan pelajaran yang disalurkan PHB dan AHB.

Antara kriteria yang melayakkan 26 pelajar itu menerima bantuan adalah mereka anak keluarga asnaf dan berjaya mendapat tawaran melanjutkan pelajaran atau sedang menuntut di mana-mana institusi pengajian tinggi awam atau swasta yang diiktiraf kerajaan.

Seterusnya melanjutkan pelajaran peringkat Ijazah pertama dan memiliki berperwatakan positif, bermotivasi, rajin, mempunyai misi dan berdaya saing.

Bantuan pelajaran itu termasuk yuran pengajian, peralatan pembelajaran, buku rujukan, sara hidup dan beberapa perkara lagi yang dirasakan bersesuaian untuk mereka terus cemerlang dan berjaya membawa pulang segulung ijazah, sekali gus mengubah nasib keluarga kelak.

“Selain membantu pelajar asnaf, antara tujuan lain penerbitan program Langit Terang untuk mengangkat budaya muhibah semua pihak terbabit.

“Program turun padang ini turut membawa orang perseorangan, syarikat dan agensi berkaitan melaksanakan misi kasih sayang serta kemanusiaan. Justeru, penonton berpeluang melihat perantara dan penaja turun padang ke lokasi responden pada setiap episod bagi memulakan program bantuan,” katanya.

Program itu turut memilih Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa sebagai perantara program selain bertindak selaku pakar motivasi yang bertanggungjawab membimbing responden agar kekal bersemangat menimba ilmu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 5:24 AM