Ketika Apple melancarkan iPhone 6 dan iPhone 6 Plus pada akhir Oktober tahun lalu, ia memang sudah menyangka ada pengeluar lain akan menyainginya dan ternyata kira-kira dua bulan kemudian, Huawei muncul dengan Honor 6 Plus yang secara terang-terangan mencabar produk terbaru Apple itu.

Malah, pada majlis pelancaran telefon pintarnya itu yang diadakan sempena ulang tahun pertama Honor di Beijing 16 Disember lalu, Presiden Huawei Honor, Jeff Liu, sentiasa membuat perbandingan antara Honor 6 Plus dengan iPhone 6 Plus dengan kelebihan diberikan kepada telefon keluaran mereka.

Berdasarkan pada nama modelnya sahaja, kita sudah boleh menjangka sebab model ini dilancarkan iaitu sebagai pencabar kepada iPhone 6 Plus.

Honor 6 Plus hadir de­ngan pelbagai ciri menarik termasuk skrin paparan 1080p berukuran 5.5-inci, pemproses Huawei Kirin 925 yang menyokong LTE Cat.6 dengan kelajuan sehingga 300Mbps, 3GB RAM dan 32GB memori simpanan dalaman.

Selain itu, ia juga mempunyai dua unit kamera 8MP yang dikenali sebagai dual-camera technology, diletakkan selari di bahagian belakang ibarat sepasang mata, sama seperti kamera Duo yang dimiliki telefon pintar utama HTC iaitu M8.

Dengan pengunaan dua unit kamera, sensor kamera Honor 6 Plus ini mampu memberikan kejelasan cahaya dua kali ganda lebih baik berbanding satu kamera. Sistem auto fokus pada kamera ini juga pantas iaitu hanya 0.1s dengan kualiti gambar boleh mencapai resolusi 13MP.

Di samping itu, Honor 6 Plus juga mempunyai bateri berkapasti 3,600mAh dan berasakan Android 4.4.4 KitKat dengan UI Emotion 3.0.

Bagi pasaran China, Huawei Honor 6 Plus ditawarkan dalam dua versi iaitu versi satu SIM 4G dan dwi-SIM 4G dengan harga penjualan masing-masing RMB1,999 (RM 1,125) dan RMB2,499 (RM1,408).

Sebelum ini, Huawei sudah melancarkan telefon pintar Honor 6 sebagai pencabar kepada Samsung Galaxy S5 dan Apple iPhone 5s. Honor 6 mempunyai reka bentuk yang amat nipis dan boleh dibandingkan dengan model Ascend P6.

Berbeza dengan Honor 6 Plus, model Honor 6 dilengkapi skrin paparan 1080p berukuran 5.0-inci dan hampir 75.7% panel hadapan telefon pintar ini adalah skrin.

Honor 5 Plus kini sudah mula ditawarkan secara rasmi di pasaran antarabangsa melalui Oppomart, selain melalui JD.com Inc di China dan Flipkart Online Services Pct Ltd di India.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 January 2015 @ 5:01 AM