EPILEPSI atau sawan ialah masalah neurologi yang boleh berlaku kepada sesiapa saja.
EPILEPSI atau sawan ialah masalah neurologi yang boleh berlaku kepada sesiapa saja.
AHMAD sentiasa positif menjalani kehidupan seharian.
AHMAD sentiasa positif menjalani kehidupan seharian.
Siti Zarinah Sahib

Ahmad Ali, 43, mengalami serangan sawan pertama ketika masih bayi. Pada masa itu ibu bapa Ahmad membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dengan keadaannya yang masih kecil.

“Ibu menceritakan saya mengalami demam panas teruk pada usia belum mencecah setahun. Demam dengan suhu yang tinggi sehingga mencecah 39 darjah Celsius ini menyebabkan saya mengalami serangan sawan pertama.

“Namun tindakan ibu bapa yang pantas membawa saya ke hospital menyebabkan sawan ini dapat dipulihkan,” katanya yang ingin berkongsi dengan masyarakat mengenai epilepsi atau sawan yang ramai tidak mengetahuinya sempena Hari Ungu yang jatuh pada 26 Mac pada setiap tahun.

Menurut Ahmad, serangan sawan pertama ini menandakan permulaan peringkat pertama epilepsi dalam hidupnya. Serangan mula berlaku lebih kerap pada usia lapan hingga 13 tahun dan ia berlarutan sehingga lima minit.

“Doktor menggambarkan serangan sawan yang saya hadapi ini ialah serangan ‘grand mal’ atau serangan sawan yang menyebabkan pesakit tidak sedarkan diri dan mengalami kekejangan otot. Selepas serangan sawan, saya perlu tidur selama tiga hingga lima jam bagi membolehkan badan berehat sepenuhnya.

“Sudah tentu ibu bapa sangat risau melihat keadaan saya. Tambahan pula sebagai anak bongsu, mereka lebih prihatin terhadap saya. Mereka bimbang saya mencederakan diri sendiri jika diserang sawan. Oleh itu saya tidak dibenarkan melakukan aktiviti luar seperti berenang atau berbasikal,” katanya.

Dengan semua sekatan yang dihadapi ini menyebabkannya menjauhkan diri daripada rakan dan saudara. Namun dia terfikir sampai bila perlu begini lantas akhirnya tekad untuk menjalani kehidupan normal.

Ahmad berterima kasih kepada keluarga yang banyak mengubah sikap menjadi lebih positif.

Sawan yang dialami lelaki ini tidak hanya terhenti ketika usia remaja sebaliknya peringkat kedua epilepsi berlaku pada usia 13 dan 19 tahun. Ahmad dirawat dengan ubat dan keadaannya bertambah baik. Selepas itu, dia mengalami serangan yang lebih sederhana dan terkawal malah otaknya juga tidak lagi terasa berat.

“Selepas menjalani rawatan, saya dapati diri saya lebih terkawal. Saya dapat berasakan ubat ini berkesan kerana dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain,” katanya.

Namun Ahmad tetap mengalami peringkat ketiga epilepsi apabila disahkan doktor menghidap epilepsi lobus temporal kiri pada usia 20 tahun. Bagaimanapun, dengan bantuan ubat dan sokongan keluarga, keadaan Ahmad bertambah baik.

Pertambahan usia dengan serangan sawan yang semakin berkurangan, Ahmad tidak pernah jemu bertanyakan soalan mengenai penyakit ini sama ada kepada doktor yang merawat atau keluarga. Ini kerana dia memerlukan sokongan sepenuhnya untuk meneruskan kehidupan.

“Saya banyak bertanya doktor mengenai ubat-ubatan yang perlu diambil. Lama-kelamaan jalinan hubungan yang terbuka dan telus membolehkan saya memahami keadaan diri dengan lebih baik. Pada hari ini, saya gembira kerana dapat berkongsi pencapaian peribadi saya bersama doktor saya.

“Kini saya boleh meramalkan dan mempersiapkan diri untuk menangani serangan. Oleh yang demikian, saya kini hanya perlu bertemu doktor sekali dalam tempoh enam bulan berbanding sekali setiap satu atau dua bulan pada masa lalu,” katanya.

Penyakit bukan penghalang

Walaupun menghidap epilepsi, Ahmad tidak pernah menganggap ia sebagai penghalang. Oleh itu dia bekerja keras untuk mencapai kecemerlangan dalam pelajaran, dengan mencapai gred tertinggi dalam peperiksaan sekolah menengah sebelum melanjutkan pengajian ke universiti dan mendapat ijazah sarjana psikologi pendidikan dalam masa hanya 15 bulan.

Selain memasang impian ingin melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah dalam bidang psikologi pendidikan, Ahmad turut mengajar di beberapa universiti dan kolej tempatan mengenai epilepsi bagi menyangkal salah tanggapan umum terhadap penyakit ini.

“Ramai pelajar saya tidak tahu mengenai epilepsi, jadi saya membuat keputusan mengajar mereka mengenainya. Bagaimanapun, saya tidak pernah mendedahkan saya sendiri mengalami masalah ini. Dengan pengalaman peribadi, saya mengajar mereka mengenai epilepsi sambil merangka aktiviti yang membantu meningkatkan kesedaran mengenainya,” katanya.

Ubah persepsi

Walaupun terdapat usaha berterusan di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai epilepsi, Ahmad berpendapat masih terdapat mitos dan salah tanggapan yang perlu ditangani dan disangkal sewajarnya. Malah pada hari ini, kepercayaan karut mengaitkan penghidap epilepsi dengan penyakit mental, dirasuk syaitan atau mangsa ilmu sihir masih wujud.

“Kesedaran mengenai epilepsi walaupun semakin meningkat, namun untuk membina keyakinan penghidapnya sangat mencabar. Saya menggalakkan badan bukan kerajaan dan syarikat korporat sama -sama memberikan sokongan praktikal dan menyediakan bahan berkaitan bagi membantu mengubah tanggapan umum mengenai epilepsi,” katanya.

Apabila diminta memberikan nasihat kepada pesakit yang menghadapi masalah ini, menurutnya, pesakit perlu mengikuti tiga langkah mudah iaitu pertama, menyemai pemikiran positif dan yakin anda boleh terus menjalani kehidupan normal.

“Kedua, ubah tanggapan mengenai epilepsi yang ia boleh diuruskan dengan baik dan ketiga, bekerja keras membina tahap keyakinan serta menambah baik kehidupan,” katanya.

Masalah neurologi

Epilepsi atau sawan ialah masalah neurologi yang boleh berlaku kepada sesiapa saja. Malah penyakit saraf ini menyerang secara tiba-tiba, berulang dan tanpa provokasi. Sesetengah penghidap mungkin mengalami gejala dalam usia satu tahun, manakala yang lain menunjukkan tanda pada peringkat lebih lewat.

Tidak kira di mana ia berlaku, serangan epilepsi amat sukar diramal dan boleh memberikan kesan ketara terhadap kehidupan harian, hubungan dan juga keselamatan pesakit.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia, terdapat kira-kira 50 juta penghidap epilepsi, dengan 80 peratus daripada kes yang dilaporkan dari negara membangun termasuk Malaysia. Sempena sambutan Hari Ungu tahun ini, badan bukan kerajaan mengambil peluang untuk memberikan kesedaran dan kefahaman mengenai epilepsi serta menekankan betapa pentingnya sikap positif untuk mengubah kehidupan penghidap epilepsi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 April 2017 @ 11:36 AM