GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) menyasarkan 800 hektar penanaman tanaman baharu di seluruh negara seperti durian MDUR88, belimbing Bintang Mas dan kopi Liberica menerusi Projek Perintis Mardi bermula tahun depan hingga 2025.

Mardi dalam kenyataan hari ini memaklumkan sekurang-kurangnya 10 projek perintis akan dilaksanakan setahun dan peserta terpilih perlu berdaftar di bawah pejabat Mardi negeri.

"Projek Perintis Mardi merupakan program pemindahan teknologi kepada golongan petani bagi tujuan menambah pendapatan mereka melalui program penanaman benih yang menggunakan varieti serta teknologi tanaman hasil penyelidikan Mardi," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Mardi memaklumkan pihaknya mengadakan majlis penyerahan anak pokok dan mesin kepada peserta Projek Perintis negeri Melaka dan Projek Rezeki Tani, masing-masing di Kampung Serkam dan Pekan Sungai Rambai, Jasin, Melaka, Ahad lalu.

Peserta Projek Perintis Zakaria Abu Bakar menerima anak pokok durian MDUR-88 dan D-99 manakala peserta Projek Rezeki Tani Abdul Ghafar Abdullah yang menjalankan perusahaan pemprosesan cendol menerima mesin pemprosesan makanan berkenaan.

Penyerahan dilakukan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah dan turut dihadiri Ketua Pengarah Mardi Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani.

Program Rezeki Tani merupakan Projek Azam Tani yang dijenamakan semula pada 2019, iaitu sebuah program pembasmian kemiskinan dan peningkatan pendapatan yang diselaraskan pelaksanaannya oleh Bahagian Industri Makanan dan Asas Tani Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

"Objektif program adalah bagi membantu meningkatkan pendapatan peserta melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, pemasaran berkaitan pertanian, penternakan dan perikanan," menurut kenyataan itu.

Selain itu, program berkenaan juga bertujuan mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing peserta melalui latihan-latihan disediakan dan mengenal pasti peserta-peserta yang berpotensi untuk dinaikkan ke tahap lebih tinggi.

Kenyataan itu menyebut, peserta yang dipilih bagi kedua-dua projek berkenaan perlu bersedia menerima tunjuk ajar, latihan serta bimbingan mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard ditetapkan Mardi dari semasa ke semasa bagi memastikan hasil yang dikeluarkan peserta mencapai tahap optimum.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 5:55 PM