CABARAN baru Tatiana apabila sering diberi watak hitam sebelum ini.
CABARAN baru Tatiana apabila sering diberi watak hitam sebelum ini.
Sudirman Mohd Tahir


Di sini nama pelakon Tatiana Sivek terlalu asing. Namun di negara kelahirannya Indonesia, Tatiana, 28, cukup dikenali dengan watak antagonis.

Baik dalam filem mahupun drama, Tatiana berjaya melakonkan watak hitam dengan berkesan sehingga menjadi mangsa kebencian penonton.

Tidak terkesan dengan maklum balas diberikan, sebaliknya Tatiana menyifatkannya satu pencapaian kerana berhasil meninggalkan impak dalam watak yang dilakonkan.

Cuma berbeza dengan lakonannya dalam drama Dia, sebuah karya kerjasama Malaysia dan Indonesia, Tatiana diberikan watak protagonis atau watak baik.

Menurut Tatiana yang dikenali menerusi filem seram, watak Bunga itu cabaran baru untuknya sepanjang pembabitan sebagai pelakon.

“Ia sesuatu yang baru untuk saya. Sebelum ini saya sering melakonkan watak jahat. Jadi apabila diberikan watak Bunga iaitu seorang peguam yang tegas, saya perlu serius. Saya tak boleh bersikap sambil lewa membawakan watak ini.

“Sudah tentu ia cabaran untuk saya. Ternyata bukan mudah melakonkan watak lain yang di luar daripada kebiasaan. Walaupun ia bukan watak utama, saya percaya ia turut membantu perkembangan jalan cerita,” katanya.

Tatiana yang ditemui di lokasi penggambaran drama Dia baru-baru ini turut melahirkan rasa teruja untuk memulakan penggambaran di Malaysia.

Bagi Tatiana, itu bakal menjadi kenangan paling berharga dalam diri dan kerjayanya. Tatiana beranggapan bukan mudah seseorang pelakon mendapat peluang sebegitu.

“Ini pertama kali saya berlakon di luar Indonesia. Tipulah kalau saya kata tak teruja. Saya sebenarnya tak sabar nak berlakon di samping pelakon Malaysia yang turut terbabit dalam drama ini.

“Saya ada bertanya pengalaman beberapa rakan yang pernah berlakon dengan pelakon Malaysia, mereka memberitahu semuanya okey. Jadi itu buatkan saya sedikit lega. Bukan apa, saya bimbang sekiranya wujud masalah dari segi bahasa,” katanya.

Tatiana berkata, sepanjang berada di Kuala Lumpur nanti dia bakal menjayakan babak bersama Izara Aishah dan seorang lagi pelakon lelaki.

“Sebelum dapat tawaran drama ini, saya memang tak kenal pelakon Malaysia, malah saya juga tak pernah menonton drama atau filem dari Malaysia. Jadi, saya tak tahu bagaimana cara mereka bekerja.

“Saya akan gunakan segala pengalaman yang ada. Saya berharap mendapat tunjuk ajar dan ilmu baru daripada pengarah, kru dan pelakon Malaysia,” katanya.

Susah dapat watak baik

Sepanjang hampir 10 tahun berlakon, Tatiana mengakui dia sukar mendapat watak baik dan sering diberikan watak hitam.

Menurut Tatiana, mungkin disebabkan air mukanya yang tampak garang membuatkan dia lebih sesuai melakonkan watak sebegitu.

“Pernah juga saya minta diberikan watak baik, tapi kebanyakan penerbit lebih percaya saya melakonkan watak jahat. Kata mereka saya tak sesuai watak baik. Mahu atau tidak saya perlu akur dengan permintaan mereka.

“Bukan tak mahu atau bosan, tapi sebagai pelakon saya perlu pelbagaikan watak. Saya tak nak dikatakan pelakon stereotaip. Namun, jika ini rezeki dan pilihan yang ada, saya terima dengan terbuka. Lagipun, kalau terlalu memilih susah juga,” katanya.

Antara drama lakonan Tatiana yang membuatkan dia dibenci penonton ialah Puteri Duyung Marina, Tendangan Si Madun 1 dan 2, Chandra Kirana dan Maafkan Aku Suamiku.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2017 @ 2:50 AM