PROJEK Remaja Perempuan Landesa bertujuan mencegah keluarga mengahwinkan anak mereka pada usia terlalu awal.
PROJEK Remaja Perempuan Landesa bertujuan mencegah keluarga mengahwinkan anak mereka pada usia terlalu awal.
SEBAHAGIAN peserta projek gembira mengusahakan kebun sayur sendiri melalui Projek Remaja Perempuan untuk memperkasakan mereka.
SEBAHAGIAN peserta projek gembira mengusahakan kebun sayur sendiri melalui Projek Remaja Perempuan untuk memperkasakan mereka.
KEBUN sayur yang di belakang rumah membolehkan remaja perempuan India jadi lebih berdikari dan dihargai.
KEBUN sayur yang di belakang rumah membolehkan remaja perempuan India jadi lebih berdikari dan dihargai.
PROGRAM khas diadakan untuk didik ibu bapa bahawa anak perempuan bukan satu bebanan.
PROGRAM khas diadakan untuk didik ibu bapa bahawa anak perempuan bukan satu bebanan.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Sarjana Biswas mempunyai satu impian yang sederhana, menamatkan persekolahan, menyambung pelajaran ke kolej dan menjadi kakitangan kesihatan kerajaan di kampungnya.

Namun bukan mudah untuk remaja di Charmahatpur di India seperti Sarjana mencapai impian mereka, apatah lagi masalah keciciran sekolah, perkahwinan awal dan penyeludupan manusia masih berleluasa di negara itu.

Bagaimanapun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peluang untuk remaja perempuan menamatkan persekolahan mereka semakin cerah. Semuanya bermula apabila kerajaan negeri memperkenalkan program khas untuk memastikan mereka terus bersekolah dengan memberi insentif kewangan.

Selain itu kemunculan kumpulan hak asasi manusia yang bersedia mengajar secara tidak langsung dapat meningkatkan usaha membasmi isu buta huruf dalam kalangan remaja perempuan. Ia secara tidak langsung memberi peluang kepada remaja mengejar impian masing-masing.

“Kakak saya berkahwin ketika berumur 15 tahun. Saya tidak mahu berkahwin pada usia semuda itu,” kata Sarjana, 17, sambil membelek pokok kacang runner di kebun sayur kecil di pusat komuniti kampungnya.

“Saya sudah diajar remaja perempuan tidak sepatutnya berkahwin pada usia terlalu muda. Saya tahu kami juga boleh memiliki tanah dan menanam apa saja, boleh cari pendapatan sendiri dan tidak perlu bergantung kepada sesiapa,” katanya.

Sarjana bersama kira-kira 70 remaja perempuan berusia antara 11 hingga 18 tahun menyertai Projek Remaja Perempuan Landesa yang mengajar mereka cara bercucuk tangan di satu plot kecil di tanah keluarga masing-masing.

Pada masa sama, mereka belajar mengenai kepentingan pendidikan, masalah yang boleh timbul jika berkahwin terlalu awal, khasiat makanan, kewangan dan hak - termasuklah pemilikan tanah.

Bekerjasama dengan kerajaan negeri, program itu sudah disertai lebih 48,000 remaja perempuan membabitkan 1,000 kampung di daerah Cooch Behar, Bengal Barat. Ia membantu mengurangkan perkahwinan kanak-kanak dan keciciran sekolah selain membekalkan ilmu kepada remaja perempuan mengenai pemilikan tanah.

Bersempadan dengan Bangladesh, Bengal Barat didiami petani miskin dan pekerja migran. Bahkan ia juga menjadi lokasi panas penyeludupan manusia. Lelaki dan wanita muda kerap ditipu untuk dijadikan pekerja seks. Menurut data rasmi, lebih satu pertiga mangsa penyeludupan manusia pada 2016 berasal dari Bengal Barat.

Remaja perempuan yang terbabit dalam projek itu yang dilancarkan pada 2011 didapati mempunyai kebarangkalian tinggi untuk terus bersekolah, menangguhkan perkahwinan dan mempunyai harta sendiri, kata ketua pegawai hasil dalam negeri di daerah Nadia, Sumit Gupta.

“Semua isu ini mempunyai kaitan dengan kemiskinan dan ketiadaan tanah adalah petanda kemiskinan yang paling utama. Jadi pendekatan celik bertani dan pemilikan tanah sangat membantu golongan sasar,” katanya kepada wartawan Thomson Reuters Foundation.

“Kami mahu remaja ini berdikari dan berbangga dengan diri sendiri. Untuk itu, mereka perlu tahu mengenai hak dan kepentingan pemilikan tanah,” sambungnya.

Kebun kecil

Bengal Barat mencatat sejarah menjadi negeri pertama di India yang menggubal undang-undang tanah dengan memberi tanah kepada petani miskin dan mengenakan had siling kepada persyarikatan tanah.

Bagaimanapun pelaksanaan undang-undang itu tidak sepantas yang diharapkan. Kira-kira 70 peratus penduduk di negeri itu tidak mempunyai tanah, lebih tinggi daripada kadar purata di seluruh India.

Projek Remaja Perempuan itu yang kini berjaya membabitkan 1.25 juta kanak-kanak bertujuan mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan wanita.

Remaja ini diajar cara menanam sayur atau pokok buah-buahan - malah pokok balak - di sudut plot tanah keluarga mereka. Cara ini membolehkan peserta menambah baik kualiti makanan dan menambah pendapatan keluarga atau menyimpan duit hasil jualan sayur dari kebun kecil mereka.

Usaha ini juga mendapat sokongan daripada kerajaan negeri dan pusat melalui skim khas untuk remaja miskin. Remaja ini menerima bantuan 750 rupee (RM50) setahun daripada kerajaan pusat untuk pendidikan dan 25,000 rupee (RM1,691) lagi akan diberikan apabila mereka mencecah umur 18 tahun jika masih bersekolah dan belum berkahwin.

Walaupun undang-undang melarang gadis di bawah umur 18 tahun untuk berkahwin, tetapi hampir separuh daripada remaja perempuan India sudah bergelar isteri sebelum mencecah usia itu, menurut laporan UNICEF.

“Anak perempuan terutama di kawasan luar bandar sering dilihat sebagai satu beban dan dikahwinkan awal kerana hantaran yang diminta oleh keluarga pengantin lelaki akan meningkat bagi remaja yang lebih berusia,” kata pengarah Landesa, Pinaki Haldar.

“Pendidikan mengenai tanah memberi banyak kesan kepada pemikiran, cara hidup dan membina keyakinan diri mereka. Walaupun seseorang remaja itu tidak mendapat banyak pendidikan tetapi setidak-tidaknya dia belajar untuk berdikari dan dihargai di rumah sendiri,” sambungnya.

Rumah saya, tanah saya

Ketua menteri negeri, Mamata Banerjee memperkenalkan skim ‘Nijo Griha, Nijo Bhoomi’ (Rumah Saya, Tanah Saya) yang memperuntukkan plot seluas 204 meter persegi bagi setiap keluarga di luar bandar yang tidak mempunyai tanah. Jadi, mereka boleh membina rumah dan bercucuk tanam di tanah sendiri.

Setakat ini lebih 2,000 keluarga sudah menikmati manfaat skim berkenaan. Sesetengahnya mempunyai anak perempuan yang diberi pendidikan mengenai hak pemilikan tanah dan pertanian.

Di pusat komuniti di Charmahatpur, kira-kira 12 remaja perempuan sibuk memeriksa kubis, kacang dan bayam yang ditanam di laman belakang pusat berkenaan. Walaupun baru balik dari sekolah, remaja itu tidak kelihatan penat sebaliknya cukup teruja membersihkan kebun sayur mereka.

Bagaimanapun bukan mudah untuk meyakinkan ibu bapa mengenai manfaat program kebun sayur itu, kata penyelia Projek Remaja Perempuan, Dilwara Mondar.

“Pada awalnya ibu bapa berdiri di pintu rumah atau mengintai dari celah tingkap bagi memastikan kami tidak mempergunakan anak mereka. Tetapi kini mereka sendiri yang sukarela mendaftarkan anak untuk program ini. Sekarang ibu bapa boleh lihat perbezaan sikap anak dan kesan program ini pada keluarga mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mac 2017 @ 12:55 PM