BAGI menjamin kualiti dan kesegarannya makanan dimasak seawal jam 5 pagi.
BAGI menjamin kualiti dan kesegarannya makanan dimasak seawal jam 5 pagi.
Siti Zarinah Sahib

Pada 2014, apabila perniagaan dalam bidang pembinaan mula mengalami kemerosotan disebabkan kemelesetan ekonomi, Siti Aishah Masri, 36, dan suami, Marwan Al Multaza Mohd Norin, 41, mula memikirkan cabang bisnes berbeza.

Siti Aishah berhasrat menjalankan perniagaan penghantaran makan tengah hari di sekitar Lembah Klang, namun tidak dipersetujui keluarga, disebabkan ketika itu bisnes ini sudah mula mendapat perhatian masyarakat.

“Lantas saya memberikan idea agar kami menyediakan makanan berpantang sama ada untuk wanita bersalin atau sesiapa saja yang inginkan makanan sihat dan berkhasiat,” kata Siti Aishah.

Oleh kerana tidak mempunyai pengalaman dalam pengendalian makanan, pasangan suami isteri ini bertemu pakar pemakanan bagi mendapatkan khidmat nasihat mengenai diet, menu berpantang dan cara mengekalkan nutrisi yang ada dalam makanan. Bukan itu saja, Siti Aishah turut bertemu bidan kampung bagi mendapatkan gambaran jelas mengenai herba terbaik yang boleh dimasukkan dalam masakan.

“Cara berpantang orang dulu jauh berbeza dengan sekarang. Ia lebih sederhana namun masih mengekalkan rempah ratus yang terbaik untuk badan. Misalnya lada hitam, bawang putih dan halia antara herba yang wajib ada dalam masakan,” katanya.

Menggunakan nama Pan Tang Food sebagai simbolik kepada makanan berpantang, sejak ditubuhkan pada penghujung 2015, sambutan diterima amat menggalakkan. Mungkin kerana keunikan perniagaan yang menyediakan makanan dalam pantang selain membantu menyelesaikan masalah wanita berpantang di bandar yang tidak lagi dijaga sepenuhnya ibu mereka.

“Jika dulu ramai wanita mengambil peluang berpantang di kampung atau membawa ibu ke bandar tetapi apabila ibu sudah tua, anak sudah bersekolah menyebabkan ramai wanita mengambil keputusan berpantang sendiri di rumah.

“Untuk itu tugas memasak sudah tentu diambil alih oleh suami. Penyediaan penghantaran makanan ini juga menyelesaikan masalah suami yang tiada pengalaman memasak makanan pantang,” kata Siti Aishah.

Menariknya makanan berpantang ini bukan untuk wanita lepas bersalin saja, malah sesuai untuk mereka yang terlantar di hospital, mengamalkan diet seimbang atau inginkan makanan sihat. Bahkan ia juga sesuai untuk pesakit yang menjalani pembedahan, keguguran, penyakit batu karang, darah tinggi dan masalah jantung.

“Ini kerana semua makanan tidak menggunakan bahan pewarna, pengawet, kurang garam, gula dan minyak. Penyediaannya juga menerusi cara merebus, panggang, bakar dan kukus,” katanya.

CUBA RESIPI SATU DEMI SATU

Setiap perniagaan ada cabarannya apatah lagi dalam bidang makanan yang mementingkan kualiti, rasa dan juga kebersihan. Berdasarkan pengalaman sendiri Siti Aishah mengakui dia juga melalui proses berpantang dengan hanya menjamah makanan tertentu selama 44 hari.

Bagi sesetengah wanita, ia sudah tentu menyebabkan mereka hilang selera dan jemu tatkala menunggu tempoh berpantang habis. Oleh itu bagi membuang persepsi mengenai makanan berpantang yang hanya berlaukkan ikan kering, haruan atau ayam, wanita ini mencuba pelbagai resipi.

“Saya bertemu ramai bidan kampung bagi mendapatkan resipi mengenai makanan berpantang. Semua saya tulis dan cuba satu demi satu. Ada juga resipi yang saya perbaiki supaya rasanya lebih sedap dan berkhasiat. Namun semuanya berasaskan cara memasak yang sihat tanpa menggunakan banyak minyak,” katanya.

Pada masa ini Pan Tang Food menyediakan 50 menu dan akan ditambah dari semasa ke semasa. Pelanggan juga boleh memilih pakej selama tujuh, 14, 30 atau 44 hari.

Pakej ini menyediakan tiga kali makan dalam sehari, iaitu tengah hari, minum petang dan makan malam. Hidangan yang disediakan pada waktu ini juga berbeza supaya pelanggan berselera dan tidak jemu.

“Untuk minum petang kami cuba menyediakan lempeng, tortila, roti pita dan bubur. Biasanya wanita hanya makan biskut bersama kopi atau coklat. Hidangan berbeza ini sudah tentu memberikan mereka tenaga selain rasa gembira menikmati tempoh berpantang yang memenatkan,” katanya

Mengutamakan protein dalam masakan, Siti Aishah menyediakan tiga jenis makanan berprotein, iaitu ikan, ayam kampung dan daging batang pinang. Ikan hanya dipilih daripada jenis yang tidak gatal seperti selar, tenggiri, haruan dan tilapia yang dimasak bersama herba seperti halia, serai, kunyit, lada hitam dan rempah lain.

Selain lauk utama, wanita berpantang juga memerlukan vitamin dan serat daripada sayur-sayuran yang tidak ‘sejuk’ seperti sawi, lobak putih, dan lobak merah serta buah-buahan.

“Sayur direbus atau digoreng manakala buah-buahan seperti oren dan epal merah kaya vitamin C yang mempercepatkan penyembuhan luka,” katanya.

Dua minggu pertama Siti Aishah hanya menyediakan menu berasaskan ikan kemudian bertukar kepada ayam, burung puyuh dan daging batang pinang.

“Ramai ibu muda memilih ayam selepas melahirkan anak, tetapi saya beritahu mereka sebaik-baiknya ambil ikan seperti haruan bagi mengelak gatal pada bahagian luka. Bagi yang bersalin secara pembedahan pula protein dapat mempercepatkan penyembuhan luka,” katanya.

Bagi menjamin kualiti makanan, semua tempahan dimasak seawal jam 5 pagi, dan penghantaran bermula pada jam 8.30 pagi sama ada dihantar ke rumah, hospital, hotel dan pejabat.

Bagi Marwan pula penyediaan menu berpantang memberi peluang kepada isteri berehat sepenuhnya di rumah. Bagi suami yang bekerja sudah semestinya akan membuatkan mereka tertekan kerana perlu memasak untuk isteri. Jadi dengan adanya Pan Tang Food ia dapat mengurangkan tekanan selain mengelak masalah meroyan yang sering dialami wanita yang baru bergelar ibu.

Mendapat permintaan tinggi dari Brunei dan Singapura, Siti Aishah dan Marwan mula memikirkan untuk membuat makanan pantang sejuk beku sedikit masa lagi. Selain pelanggan Melayu, Siti Aishah turut menerima pelanggan Cina dan India di sekitar Lembah Klang.

Pada masa yang sama mereka juga turut menyediakan khidmat urutan, penjagaan bayi dan jamu sebagai melengkapi pakej ketika berpantang. Kepada yang ingin mengetahui lebih lanjut melayari laman sosial Facebook, Instagram dan blog Pan Tang Food.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mac 2017 @ 5:08 AM