TAUHU sumbat ikan lada hitam mudah disediakan, sedap  sesuai dinikmati pelbagai lapisan usia.
TAUHU sumbat ikan lada hitam mudah disediakan, sedap sesuai dinikmati pelbagai lapisan usia.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


Menyediakan juadah lazat yang berbeza daripada biasa untuk dijadikan hidangan ketika berbuka puasa sering kali menjadi masalah yang membelenggu kebanyakan wanita sama ada suri rumah mahupun berkerjaya.

Hidangan yang sama hampir setiap hari bukan saja mendatangkan rasa jemu malah menyebabkan anak khususnya yang berpuasa terbantut selera untuk menjamah juadah ketika berbuka.

Tidak hairanlah jika rancangan memasak mendapat perhatian ramai, jika tidak ditiru bulat-bulat resipi yang diajar di televisyen, setidak-tidaknya memberi ilham untuk menghasilkan menu baru mengikut bahan yang ada di rumah.

Hidangan tauhu sumbat ikan lada hitam antara resipi yang boleh dicuba kerana ia bukan saja mudah disediakan malah, rasanya juga enak.

Bagi bersama-sama berkongsi resipi mudah dan lazat ini, Fadilah Hashim yang juga seorang guru memberitahu, hidangan ini boleh disediakan dalam tempoh kurang setengah jam.

Fadilah berkata, hidangan tauhu sumbat ikan lada hitam ini sesuai untuk semua lapisan usia bermula daripada kanak-kanak sehingga dewasa.

“Kos penyediaannya juga tidak mahal dan ia adalah satu juadah istimewa kerana jarang ditemui dijual di restoran mahupun bazar Ramadan.

“Bukan saja sesuai dijadikan hidangan berbuka malah ia boleh disajikan ketika jamuan rumah terbuka atau untuk menjamu tetamu yang datang berkunjung pada Aidilfitri ini,” ujarnya.

Menurut Fadilah, menggunakan tauhu sebagai bahan utama di samping ikan, pastinya hidangan ini juga membekalkan khasiat diperlukan terutama ketika Ramadan ini.

“Amat sukar untuk memujuk kanak-kanak sekarang makan ikan dan resipi ini secara tidak langsung boleh membantu anak mendapat khasiat daripada ikan.

“Dengan rasanya yang enak, tauhu sumbat ikan lada hitam ini juga boleh dimakan bersama sos cicah dan sambal atau dimakan begitu saja,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2015 @ 5:02 AM