JEMPUT-JEMPUT dihasilkan menggunakan lebihan nasi.
JEMPUT-JEMPUT dihasilkan menggunakan lebihan nasi.
HM Digital


PERKONGSIAN wanita ini menggunakan baki makanan yang diubah suai menjadi menu berbeza mendapat perhatian ramai. Lebihan nasi dijadikan jemput-jemput dan apam manakala sate, ayam dan ikan goreng yang tidak habis diracik dicampurkan di dalam nasi goreng memberi idea kepada wanita lain mempelbagaikan menu sekali gus mengelak pembaziran.

Sebagai penggemar makanan, Zulfa Zainal Abidin mengakui didikan ibu menjadikan dirinya mahir untuk mempelbagaikan hidangan menggunakan lebihan makanan.

“Dulu ketika kecil ibu melakukan perkara sama. Misalnya lebihan nasi dijadikan nasi goreng dengan ayam dan ikan dijadikan rencahnya. Kuah laksa dimasak sehingga kering menjadi serunding ikan.

“Pulut pula dileperkan, dijemur dan disimpan, kemudian digoreng dan disira. Makanan tradisional ini enak dimakan begitu sahaja. Banyak lagi idea kreatif ibu yang tidak disangka-disangka namun menghasilkan hidangan yang sedap,” katanya yang kerap dididik untuk tidak membazirkan makanan.

Apabila sudah berkeluarga Zulfa turut mempraktikkan apa yang dipelajari daripada ibunya mengenai penyediaan makanan.

“Seboleh-bolehnya makanan yang masih elok saya simpan atau dijadikan menu berbeza. Ada juga rakan memberikan idea dan selebihnya saya cari di Internet,” katanya.

Zulfa masih ingat antara menu yang dihasilkan adalah roti canai yang ditumis cili bersama ayam atau udang dan nasi himpit digoreng bersama sambal. Walaupun ada kala ia resipi baru, rasanya tidak kurang enak apabila keserasian bahan menjadikan ia secukup rasa.

ZULFA dibantu suami, Zaidi Sahid bijak mempelbagaikan hidangan menggunakan lebihan makanan. FOTO: Rohanis Shukri
ZULFA dibantu suami, Zaidi Sahid bijak mempelbagaikan hidangan menggunakan lebihan makanan. FOTO: Rohanis Shukri

Lebih penting setiap resipi membangkitkan keenakan tersendiri biarpun dia hanya menambah lebihan makanan ini tanpa mengubah bahan digunakan. Malah dia bukan hanya menggunakan lauk-pauk sahaja sebaliknya lebihan roti, biskut atau kek turut diubah suai menjadi hidangan berbeza.

Bercakap mengenai pembaziran makanan, menurut Zulfa, status sebagai isteri dan ibu serta pengalaman memasak setiap hari menjadikan dia lebih arif mengenai keperluan makanan yang perlu disediakan.

“Jadi saya akan memasak mengikut saiz keluarga. Jika ada lebih pun akan diberikan kepada jiran tetangga. Biasanya setiap hari hanya satu atau dua hidangan disediakan. Jarang sekali makanan penuh di meja kecuali sekiranya keraian.

“Tetapi walaupun merancang, ada kala apa yang dimasak terlebih juga sekiranya selera anak-anak berubah tidak mahu makan menu dihidangkan. Jadi untuk mengelak perkara ini saya biasanya akan mempelbagaikan menu setiap hari supaya mereka tidak bosan selain bertanya apakah hidangan yang mereka inginkan setiap hari,” katanya.

Mengakui seorang yang rajin meneroka mengenai kaedah penyediaan makanan, jelas Zulfa, tiada salah atau betulnya mengguna semula lebihan makanan asalkan rasanya sedap serta boleh dimakan seisi keluarga. Paling penting kaedah ini dapat mengelak pembaziran daripada berlaku.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 4:30 AM