GAMBAR hiasan murtabak diraja. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan murtabak diraja. FOTO arkib NSTP
Attirmidzie Rahman


Pasir Mas: Snek popular tempatan seperti murtabak diraja, keropok lekor dan kerepek pisang akan dikembangkan menjadi makanan dalam penerbangan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya sudah berunding dengan syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia bagi tujuan berkenaan.

"Kita mempunyai banyak produk makanan tempatan yang boleh disajikan dalam pesawat seperti murtabak diraja, keropok lekor dan kerepek pisang yang sekali gus mempelbagaikan citarasa tempatan.

"Untuk itu rundingan sudah dibuat dengan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mengenai pemasaran produk ini dalam masa terdekat.

"Secara dasarnya kita mencapai persetujuan namun AirAsia mahu meneliti beberapa kriteria terutama pembungkusan, rasa dan kualiti kebersihan sama ada sesuai dihidangkan untuk pelanggan penerbangan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Negaraku Prihatin anjuran Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubang Bunut, di sini, hari ini yang turut dihadiri, Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan Ahli Lembaga Pengarah KADA, Datuk Hanafi Mamat.

Ahmad Shabery berkata, menerusi perlaksanaan itu nanti akan memberi pendapatan tambahan kepada usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) berkaitan.

Terdahulu, Ahmad Shabery menyampaikan bantuan mesin dan peralatan bernilai keseluruhan RM129,268 kepada 29 usahawan industri makanan KADA.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 5:47 PM