KARL Shafek. FOTO arkib NSTP
KARL Shafek. FOTO arkib NSTP
Ramlah Zainal


Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara Karl Shafek membuat laporan polis, semalam selepas diugut jiran yang mahu membakar rumah dan dua ekor kucing peliharaannya.

Karl atau nama sebenarnya Khairul Shafek Ibrahim ketika dihubungi berkata, jiran terbabit mendakwa dua ekor kucing miliknya itu membuang najis merata-rata di kawasan kondominium berkenaan.

Karl menafikan dakwaan jirannya itu dan dua kucing peliharaannya itu hanya tinggal di dalam rumah dan tidak berkeliaran di kawasan kejiranan itu.

"Saya tidak pernah bergaduh dengan sesiapa sejak menginap di sini lima tahun lalu. Sepatutnya perkara ini boleh diselesaikan dengan baik,” katanya yang juga pengacara program CJ Wow Shop.

Menurut Karl, dia tidak pernah bertemu dengan jiran terbabit tetapi dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengurusan kondominium itu selepas jiran itu membuat aduan.

“Pihak pengurusan memaklumkan jiran itu bukan saja mengugut untuk membakar kediaman dan dua kucing milik saya, malah ingin mengupah orang untuk memecah masuk kediaman saya.

“Disebabkan ada unsur ancaman, pihak pengurusan kondominium menasihatkan supaya membuat laporan polis,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Bandar Sri Damansara, di sini, kira-kira 6 petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 5:38 PM