WAWRINKA
WAWRINKA

Chennai, India: Juara Terbuka Australia, Stanislas Wawrinka mula melakukan persiapan bagi saingan Grand Slam pertama tahun ini dengan beraksi di Terbuka Chennai, India bermula hari ini.

Pemain nombor empat dunia itu beraksi buat kali ketujuh di bandar yang terletak di selatan India itu, tetapi kali ini sebagai penyandang juara pada kejohanan bernilai AS$450,000 (RM1.5 juta) di Stadium Nungambakkam.

Kejayaan Wawrinka di Chennai tahun lalu memberikan suntikan semangat buatnya apabila mengalahkan Novak Djokovic pada suku akhir Terbuka Australia dan mengejutkan pilihan utama, Rafael Nadal untuk menjulang trofi Grand Slam sulungnya.

Pemain berusia 29 tahun itu menamatkan aksi tahun ini dengan mengetuai Switzerland muncul juara Piala Davis, apabila menumpaskan pemain nombor satu Perancis, Jo-Wilfried Tsonga pada hari pembukaan sebelum bergandingan dengan Roger Federer dalam acara beregu.

“Saya amat menyukai Chennai. Suasana di sini sentiasa hebat, begitu juga dengan penyokong, itulah sebabnya saya sentiasa ke sini. Kejohanan ini permulaan cemerlang buat saya pada 2014 dan saya berharap tahun ini juga berlaku perkara yang sama,” katanya.

Wawrinka, yang akan mempertahankan kejuaraan Terbuka Australia di Melbourne bermula 19 Januari ini berkata, tiada sebarang sasaran khas untuk 2015 kecuali kekal cergas dan bermain dengan konsisten di semua permukaan gelanggang.

“Saya mahu bermain dengan baik dan memenangi kejuaraan di semua peringkat,” katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:08 AM