Meor Riduwan Meor Ahmad


Langkawi: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Daerah Maritim 1 Langkawi (DM1) melakukan pelayaran ihsan, hari ini bagi membawa balik jenazah kanak-kanak lelaki ke Pulau Langkawi.

Kanak-kanak terbabit, Muhammad Rayyan Mikhail Abdullah, 4, dilaporkan meninggal dunia di hospital pada 10.38 pagi semalam akibat jangkitan pada paru-parunya.

Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim 1 Langkawi, Komander Maritim R Vincent berkata, pihaknya dihubungi pihak polis untuk memberi bantuan membawa balik jenazah kanak-kanak itu dari Kuala Kedah dan turut berhubung dengan keluarga mangsa untuk kepastian.

"Sejurus menerima panggilan, Daerah Maritim 1 Langkawi mengarahkan Pangkalan Maritim Kuala Kedah menghantar aset yang terbabit dalam tugas Operasi Satria Utara (OSU) untuk membawa jenazah dari Kuala Kedah ke Langkawi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya jenazah kanak-kanak itu selamat tiba di jeti Daerah Maritim 1 dengan diiringi ibunya, Nor Amira Fadzil, 21, pada 6 petang dan seterusnya dibawa ke kediaman mereka di Kampung Kuah untuk dikebumikan.

Beliau berkata, APMM sedia membantu penduduk setempat walaupun ia berbeza dengan tugas hakiki agensi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 10:54 PM