Aziman Rosdi

Kuala Lumpur: Penyerang Mohd Safee Sali mahu menamatkan badi tanpa kemenangan selama 10 tahun Harimau Malaysia ke atas Filipina apabila kedua-dua pasukan kembali membuat perhitungan dalam aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Memorial Rizal, Manila esok.

Malah, kemenangan kali ini amat ditagih pemain berusia 33 tahun itu untuk menebus kehampaan gagal menyempurnakan sepakan penalti lewat permainan ketika seri 0-0 dengan Filipina pada pertemuan terakhir di Cebu pada 27 April 2014.

“Bukan senang mahu menang dengan Filipina, mereka sekarang menduduki ranking lebih tinggi (124) berbanding Malaysia (161).

“Berdepan Filipina ini, saya akan berusaha memberikan kemenangan kerana sepanjang bergelar pemain kebangsaan, saya tak pernah menang dengan mereka,” katanya kepada Arena Metro.

Aksi di Manila esok adalah pertemuan keenam sejak kali terakhir Harimau Malaysia menang menerusi keputusan 4-0 dalam saingan Piala AFF 2007.

Selepas itu skuad kebangsaan hanya merekodkan keputusan seri dalam empat aksi persahabatan antarabangsa.

Safee terus mendapat kepercayaan jurulatih Datuk Ong Kim Swee untuk bersama pasukan negara selepas turut berada dalam skuad yang tersingkir awal pada kempen Piala AFF November tahun lalu.

Bagaimanapun, bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) itu yang kini menyarung jersi PKNS FC yakin prestasinya semakin baik dan bersedia merebut tempat dengan dua lagi pemain Ahmad Hazwan Bakri dan Mohd Amri Yahyah.

“Tahun ini saya banyak beraksi selama 90 minit dan saya rasakan prestasi bertambah baik. Saya juga sudah mula mendapat sentuhan dan berharap dapat membantu pasukan negara kali ini.

“Semua pemain nampak bersungguh-sungguh untuk mencapai kemenangan. Jurulatih juga memberikan semangat kepada kami semua dan apa yang penting perlu kekal fokus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Mac 2017 @ 10:33 AM