Keadaan van dan lori dengan muatan ais krim selepas kemalangan. (Gambar kecil) Pengawal keselamatan memunggah wang dari van keselamatan. FOTO Zairee Mohd Yasak
Keadaan van dan lori dengan muatan ais krim selepas kemalangan. (Gambar kecil) Pengawal keselamatan memunggah wang dari van keselamatan. FOTO Zairee Mohd Yasak
Zairee Mohd Yasak


Alor Gajah: Dua pengawal keselamatan tersepit manakala seorang lagi terperangkap dalam van keselamatan selepas melanggar lori membawa muatan ais krim yang terbalik di lorong tengah Lebuhraya Utara Selatan arah selatan.

Kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 208 lebuh raya berkenaan berhampiran Restoran Jejantas Ayer Keroh, jam 5 pagi tadi membabitkan treler muatan kayu, lori ais krim dan van keselamatan.

Pegawai Operasi dari Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Tajuddin Jaafar berkata, pemandu lori muatan aiskrim tidak sempat mengelak treler yang diletakkan di lorong kecemasan lalu terlanggar sisi kanan kenderaan itu sebelum terbalik.

“Van keselamatan yang tiba lima minit kemudian tidak dapat mengelak lori yang terbalik di lorong tengah lalu melanggar lori terbabit dan menyebabkan pemandu dan kelindan tersepit.

“Kedua-dua mangsa yang tersepit di bahagian kaki dan seorang pengawal keselamatan yang terperangkap di bahagian belakang van terbabit berjaya dikeluarkan dan dihantar ke Hospital Melaka untuk diberi rawatan,” katanya.

Beliau berkata, operasi membabitkan 10 pegawai dan anggota dari Balai Bomba Alor Gajah dengan bantuan tiga jentera berakhir jam 7.30 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2017 @ 12:37 PM