MOHD Harmizi menunjukkan bot yang ditahan. FOTO Shamsudin Husin
MOHD Harmizi menunjukkan bot yang ditahan. FOTO Shamsudin Husin
Shamsudin Husin


Chukai: Dua bot nelayan asing yang disyaki melakukan pemindahan diesel tanpa kebenaran ditahan dalam rondaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira 149 batu nautika dari Kuala Kemaman, 8.40 pagi kelmarin.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Mohd Harmizi Md Nor berkata, pihaknya sedang melakukan rondaan di kawasan berkenaan sebelum mengesan dua bot terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, sebaik anggota APMM melakukan pemeriksaan terhadap bot terbabit didapati lapan awak-awak termasuk tekongnya sedang melakukan pemindahan diesel.

"Berikutan itu, kami menahan kesemua mereka itu yang berusia antara 20 hingga 45 tahun dan merampas kira-kira 250,000 liter diesel daripada kedua-dua bot terbabit.

"Kesemua mereka itu bersama dua bot terbabit kemudiannya dibawa dan ditunda ke Jeti Pangkalan APMM Kemaman untuk siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952," katanya ketika sidang media di Jeti Pangkalan APMM Kemaman di Teluk Kalong, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mac 2017 @ 8:27 PM