Antara nelayan dipercayai dari Vietnam yang ditahan APMM di Kemaman, Terengganu. - Foto SHAMSUDIN HUSIN
Antara nelayan dipercayai dari Vietnam yang ditahan APMM di Kemaman, Terengganu. - Foto SHAMSUDIN HUSIN
Shamsudin Husin


LEKA menangkap ikan menyebabkan sekumpulan nelayan Vietnam tidak sempat melarikan diri sebelum ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kira-kira di kawasan 94 batu nautika dari Kuala Kemaman, pagi semalam.

Berikutan itu, 22 awak-awak dan tekong warga asing dipercayai dari Vietnam ditahan di kawasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) dalam perairan negara itu.

Pengarah Pangkalan Maritim Kemaman, Leftenan Komander Maritim Muhamad Rezal Kamal Bashah berkata, ketika pihaknya melakukan rondaan rutin kira-kira 8.30 pagi, berjaya mengesan sebuah bot nelayan warga asing.

Menurutnya, ketika itu mereka yang dipercayai sedang leka menangkap ikan, tidak menyedari kehadiran APMM dan tidak sempat melarikan diri.

"Bot berkenaan didapati tiada dokumen kebenaran untuk menangkap ikan dan nelayan terbabit pula tidak mempunyai pengenalan diri.

"Semua mereka yang berusia antara 16 hingga 43 tahun dan bot berkenaan dibawa ke Pangkalan Maritim APMM Teluk Kalong untuk siasatan lanjut.

"Mereka juga direman 14 hari untuk disiasat mengikut Akta Perikanan 1985," katanya ketika sidang media di Pangkalan APMM Teluk Kalong, hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut merampas 1,200 kilogram pelbagai jenis ikan, 100 kilogram sotong kering kering dan 800 liter diesel dan peralatan menangkap ikan bernilai RM700,000.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Julai 2017 @ 6:36 PM