Anggota bomba mengangkat mayat Aiman Zikri Basri, enam tahun, yang ditemui lemas di kolam terbiar berhampiran inap desa di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. Foto ihsan Laporan Kemalangan Langkawi.
Anggota bomba mengangkat mayat Aiman Zikri Basri, enam tahun, yang ditemui lemas di kolam terbiar berhampiran inap desa di Pantai Chenang, Langkawi, hari ini. Foto ihsan Laporan Kemalangan Langkawi.
Hamzah Osman

Langkawi: Budak lelaki berusia enam tahun ditemui lemas dalam kolam terbiar berhampiran inap desa di Pantai Chenang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, mayat Aiman Zikri Basri,dari Kampung Lubuk Buaya, Mukim Kedawang, di sini, ditemui terapung di tepi kolam terbabit oleh anggota bomba.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Bomba Nur Hafizah Muhammad Lukman, berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 7.39 malam dan tiba di lokasi kejadian kira-kira 20 minit kemudian.

Katanya, dua pegawai bersama lima anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi berserta sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba, bomba melakukan usaha mencari dan menyelamat di permukaan sebelum menemui mayat mangsa yang terapung di tepi kolam tinggal berkedalaman lebih kurang enam meter.

"Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di tempat kejadian, sebelum mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya ketka dihubungi di sini, sebentar tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Mac 2017 @ 10:39 PM