KEADAAN MPV terbabit kemalangan dengan lori. FOTO ihsan Bomba
KEADAAN MPV terbabit kemalangan dengan lori. FOTO ihsan Bomba
Mohd Hafizee Mohd Arop


Slim River: Dua maut selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori tiga tan membawa muatan getah di kilometer 354.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River, malam tadi.

Dalam kejadian 9.15 malam itu, mangsa yang maut ialah Huen Chee Hon, 31, dan seorang warga Thailand yang masih belum dikenal pasti identitinya.

Difahamkan pemandu MPV serta pemandu lori berkenaan turut cedera dan dibawa ke Hospital Tapah untuk menerima rawatan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw ketika dihubungi berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada lori berkenaan yang cuba menukar lorong dari kiri ke kanan.

Katanya, MPV yang berada di lorong kanan kemudiannya merempuh lori berkenaan mengakibatkan kenderaan berkenaan mengalami remuk teruk dibahagian hadapan.

"Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, Jasfian Jamaludin berkata, bomba menerima panggilan pada 9.29 malam sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba anggota mendapati dua mangsa yang maut masih tersepit di tempat duduk sebelum operasi mengeluarkan mangsa dijalankan manakala dua mangsa yang cedera sudah berjaya dikeluarkan orang awam dan dibawa ke hospital.

"Kedua-dua mangsa berkenaan berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis sebelum operasi ditamatkan jam 10.20 malam," katanya

Keterangan Gambar:

Keadaan Toyota Vellfire terbabit kemalangan dengan lori membawa muatan getah. Gambar Ihsan Bomba

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2017 @ 8:39 AM