KEADAAN Toyota Vellfire yang terbabit dalam nahas, semalam.
KEADAAN Toyota Vellfire yang terbabit dalam nahas, semalam.
Mohd Hafizee Mohd Arop


Tapah: Dua maut termasuk seorang warga Thailand selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dinaiki merempuh belakang sebuah lori membawa muatan getah di Kilometer 354, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Slim River, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.47 malam itu, mangsa yang maut ialah Huen Chee Hon, 31, dan lelaki warga Thailand yang masih belum dikenal pasti identiti selepas kedua-duanya parah.

Difahamkan, pemandu MPV berkenaan iaitu Lim Wai Siong, 31, dan pemandu lori, Mohd Rosli Abd Halim,53, turut mengalami kecederaan dan menerima rawatan di Hospital Tapah.

Ketua Polis Daerah Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, hasil siasatan awal dijalankan polis mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada lori berkenaan yang cuba menukar lorong dari kiri ke kanan.

Katanya, Toyota Vellfire berada di lorong kanan kemudiannya terus merempuh belakang lori berkenaan sebelum kedua-duanya melanggar penghadang jalan di bahagian kiri dan kanan.

Menurutnya, MPV berkenaan yang gagal dikawal itu kemudiannya berpusing lebih tiga kali dan akibat rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian hadapan MPV remuk.

“Mangsa (Chee Hon) yang maut mengalami kecederaan parah di dada serta muka kerana tercampak ke bahagian depan cermin manakala warga Thailand parah di bahagian muka dan kedua-dua mereka meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat kedua-duanya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Tapah untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Slim River Jasfian Jamaludin berkata, mangsa yang terpsit dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 7:56 AM