SEORANG peniaga menjual lada di sebuah pasar di Jakarta. - Antara
SEORANG peniaga menjual lada di sebuah pasar di Jakarta. - Antara
Agensi

Jakarta: Suruhanjaya Pemantau Persaingan Perniagaan Indonesia (KPPU) mengesan berlakunya amalan kartel dalam pengedaran cili di negara itu yang menyebabkan harganya melonjak sejak beberapa bulan lalu.

Pengerusi KPPU, Syarkawi Rauff memberitahu, pihaknya menyiasat amalan berkenaan yang menjadikan harga komoditi itu tidak terkawal.

“Kami dapati di banyak pasar borong di Jakarta dan bandar sekitarnya, penjualan cili dikuasai tiga pedagang. Mereka menguasai jumlah cili yang besar,” katanya kepada portal Kompas.com semalam.

Harga cili merah terutama lada mata burung meningkat kepada Rp150,000 (RM50) sekilogram di beberapa pasar walaupun harga di ladang hanya di bawah Rp50,000 (RM17) sekilogram.

“Ini bermakna margin keuntungan orang tengah adalah terlalu tinggi,” katanya.

Tambahnya, pasukan KPPU menyiasat mekanisma perdagangan cili di beberapa pasar borong di Jakarta, Bogor dan Bekasi.

Hasil siasatan KPPU mendapati pedagang yang besar ini menghalang cili masuk ke pasaran dengan segera kerana cuba menaikkan harganya.

“Pedagang besar ini membeli cili daripada orang tengah yang membelinya daripada petani, sebelum komoditi itu dijual kepada ejen pasar dan pedagang lain.

“Rantaian yang panjang ini sebelum sampai ke pengguna menyebabkan harga cili terus tinggi,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mac 2017 @ 9:03 AM