HARGA cili padi merah dikatakan naik mendadak sehingga cecah RM30 sekilogram. FOTO Omar Ahmad
HARGA cili padi merah dikatakan naik mendadak sehingga cecah RM30 sekilogram. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Johor Bahru: Harga cili padi merah didapati naik dengan ketara sehingga mencecah hampir RM30 sekilogram sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara pada 13 Januari lalu.

Tinjauan di beberapa pasar raya sekitar Johor Bahru turut mendapati harga beberapa jenis sayuran berdaun turut meningkat.

Peniaga makanan, Mohamad Izam Seran, 50, berkata sebelum ini cili padi merah boleh dibeli pada harga RM8 sekilogram, namun sekarang harganya RM25 ke atas malah ada hingga RM29 sekilogram.

Katanya, demikian juga dengan harga sayur hijau lain seperti kailan dan sawi Jepun sebelum ini harga antara RM4 sekilogram, sekarang ada sampai harga RM8 hingga RM10 sekilogram.

"Sejak tahun lalu harga sayur memang turun naik. Tapi harga cili padi merah memang terlalu mahal dan peniaga mendakwa mereka membeli dengan harga mahal dari pemborong kerana PKP.

"Bagi saya yang berniaga makanan pasti berdepan dilema kerana walaupun harga sayur mahal saya tidak boleh menaikkan harga makanan dengan sesuka hati kerana pelanggan pula yang terbeban," katanya.

Sementara itu, peniaga makanan panas, Zarina Abdul Ghani, 38 berkata, dia mengakui harga harga cili padi merah terlalu mahal manakala harga sayur sawi dan kangkung naik hampir sekali ganda.

"Saya banyak pergi pasar awam dan pasar raya untuk cari harga yang lebih murah. Bila tengok harga cili sampai RM29 sekilogram, memang termenung nak beli atau tidak.

"Dalam PKP peniaga bukan senang dapat pelanggan tetapi dalam masa sama harga sayuran dan keperluan jualan juga naik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Februari 2021 @ 3:27 PM