KUMPULAN muzik diberi nama Garage Band turut ditubuhkan dan ahli kumpulan bermain alat muzik menerusi aplikasi yang terdapat dalam iPad.
KUMPULAN muzik diberi nama Garage Band turut ditubuhkan dan ahli kumpulan bermain alat muzik menerusi aplikasi yang terdapat dalam iPad.
PELAJAR turut menghadiri kursus khas bagi mengoptimumkan kemahiran mengendalikan iPad.
PELAJAR turut menghadiri kursus khas bagi mengoptimumkan kemahiran mengendalikan iPad.
PENGGUNAAN iPad sebagai medium bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) dalam kelas dan pelbagai aktiviti sekolah sepanjang tahun.
PENGGUNAAN iPad sebagai medium bagi proses pengajaran dan pembelajaran (PnP) dalam kelas dan pelbagai aktiviti sekolah sepanjang tahun.
Nor Hanisah Kamaruzaman

Kecanggihan teknologi banyak membantu dalam melancarkan tugas seharian dan tidak terkecuali proses pembelajaran tambahan dengan adanya rangkaian Internet.

Sesuai dengan arus kemodenan, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak mengguna pakai iPad sebagai inisiatif memperkaya pengalaman pelajar dalam pengajaran dan pembelajaran (PnP) di kelas dan aktiviti sekolah sepanjang tahun.

Menjadi maktab pertama memanfaatkan peranti canggih itu sepenuhnya, MRSM Taiping turut menuju ke arah penarafan ‘Apple Distinguished School.’

Selain menjadi peranti wajib dimiliki setiap pelajar, guru di sekolah maktab berkenaan turut menghadiri kursus iPad supaya dapat menguasai cara penggunaan dan memastikan proses pembelajaran berjalan lancar.

Kursus khas turut disediakan untuk pelajar supaya mereka juga tidak ketinggalan menggunakan iPad secara optimum.

Pelajar di MRSM Taiping menggunakan iPad untuk pelbagai guna antaranya menyiapkan tugasan dan latihan kerja rumah yang dihantar melalui aplikasi iTunes U.

Melalui aplikasi itu juga pelajar dapat mengikuti setiap perkembangan yang dikemas kini guru berkenaan sesuatu topik dipelajari.

Pelajar juga berpeluang membuat ulang kaji bagi soalan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang perlu diberi perhatian menerusi ruang perkongsian disediakan guru dalam aplikasi sama.

Menerusi akses Internet percuma dan terkawal di MRSM Taiping, topik perbincangan juga lebih luas selain memupuk pemikiran kritis bagi pelajar kerana mereka berpeluang mencari maklumat di hujung jari.

Guru dan pelajar juga memperoleh banyak faedah kerana berkesempatan mendalami ilmu pengetahuan tidak hanya terhad di buku teks.

Selain memudahkan proses pembelajaran, penggunaan kertas juga dapat dikurangkan menerusi aplikasi medium digital itu.

Secara tidak langsung, pelajar dapat menguasai kemahiran mengendalikan gajet apabila menyalin nota ringkas di iPad dan nota disalin pula lebih pantas dan menarik.

Selain bertujuan pembelajaran, pelajar turut menggunakan iPad bagi aktiviti sekolah seperti bermain alat muzik.

MRSM Taiping menubuhkan kumpulan muzik dinamakan Garage Band bermain alat muzik yang terdapat dalam aplikasi Garage Band di iPad masing-masing.

Menariknya, peranti iPad turut dijadikan medium untuk menjalankan ujian mahupun kuiz melalui aplikasi yang terdapat di dalam iPad atau aplikasi boleh diakses di laman web.

Penggunaan iPad dikatakan bertepatan dengan objektif MRSM Taiping iaitu melahirkan pelajar bukan saja cemerlang akademik tapi celik dalam bidang teknologi maklumat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2017 @ 10:30 AM