ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang terbalik dalam parit bagi memastikan tiada lagi mangsa di dalam kenderaan itu. FOTO  ihsan Bomba
ANGGOTA bomba memeriksa kereta yang terbalik dalam parit bagi memastikan tiada lagi mangsa di dalam kenderaan itu. FOTO ihsan Bomba
KERETA dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air dan terbabas sebelum terbalik di dalam parit. FOTO ihsan Bomba
KERETA dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air dan terbabas sebelum terbalik di dalam parit. FOTO ihsan Bomba
Muhammad Apendy Issahak


Bagan Serai: Dua mangsa cedera termasuk seorang hampir lemas selepas kereta dinaiki terbabas dan terbalik di dalam parit di Kilometer 183.8 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara berhampiran Plaza Tol Alor Pongsu di sini, hari ini.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, kereta dipandu lelaki bersama rakan wanitanya yang kedua-duanya berusia 20-an dipercayai hilang kawalan selepas melanggar lopak air di laluan terbabit dan terbabas sebelum terbalik dalam parit di kiri lebuh raya berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Pegawai Bomba Kanan ll Nasir Wahab berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada 7.59 pagi dan satu jentera bersama enam anggota ke lokasi kemalangan.

"Sebaik tiba, bomba dapati kereta berkenaan dalam keadaan terbalik dalam parit yang penuh air dengan keempat-empat tayar ke atas.

"Bagaimanapun, dua mangsa sudah keluar dari kereta berkenaan dengan seorang wanita dalam keadaan lemah dipercayai akibat hampir lemas," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta mengalami kecederaan pada bahagian kaki dan berdasarkan maklumat awal yang diperoleh mangsa lelaki itu berjaya keluar dari kereta sebaik terbabas dan terbalik sebelum terjunam dalam parit.

"Lelaki berkeaan kemudian dikatakan berjaya menyelamatkan rakan wanitanya yang duduk di bahagian penumpang depan.

"Bomba kemudian bertindak menghubungi pihak paramedik dan kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar, dekat sini dengan ambulans," katanya.

Nasir berkata, pihaknya turut membuat pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan tiada mangsa lain yang berada dalam kereta berkenaan.

Menurutnya, operasi berkenaan tamat pada 9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2017 @ 4:40 PM