Supramaniam (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada geng Along Kenanga. FOTO Amrullah Abdul Karim
Supramaniam (tengah) menunjukkan barang rampasan daripada geng Along Kenanga. FOTO Amrullah Abdul Karim
Amrullah Abdul Karim


Kuala Kubu Bharu: Geng Along Kenanga yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan curi motosikal sejak tahun lalu tumpas selepas lima ahlinya ditahan polis.

Lelaki berusia 20 hingga 40 tahun itu ditahan di lokasi berasingan pada 22 dan 24 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki jam 3 petang pada 22 Februari lalu di Pangsapuri Kenanga, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung.

"Hasil soal siasat, dua lagi suspek ditangkap jam 5 petang pada 24 Februari lalu di kawasan Plaza Tol Bukit Beruntung.

"Semua suspek dipercayai dalang sindiket pecah rumah dan curi motosikal yang aktif di sekitar Bukit Sentosa dan Bukit Beruntung," katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa barangan curi iaitu 17 telefon bimbit pelbagai jenama, 12 jam tangan pelbagai jenama, dua kamera digital, empat motosikal termasuk dua surat pajak gadai.

Katanya, dengan penahanan lima penjenayah itu polis berjaya selesaikan lima kes pecah rumah dan enam kes curi motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Februari 2017 @ 4:00 PM