Aizat Sharif


Alor Setar: Polis menumpaskan Geng Anggerik yang aktif menjalankan kegiatan curi kenderaan dan pecah rumah sekitar daerah ini dengan tertangkapnya enam lelaki, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, Geng Anggerik dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan melakukan jenayah pecah rumah, pecah kedai serta mencuri kenderaan.

“Kita menubuhkan pasukan khas untuk menjalankan Op Anggerik. Tangkapan pertama dilakukan jam 4 petang pada 5 Februari lalu apabila seorang lelaki berusia 22 tahun ditahan di sebuah hotel di Lorong Peremba, Taman Anggerik, Alor Setar.

“Penangkapan itu membawa kepada penahanan lima lagi lelaki berusia antara 23 hingga 39 tahun termasuk perancang utama di beberapa hotel bajet di sekitar Alor Setar pada 6 hingga 8 Februari lalu,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, di sini tadi.

Mohd Rozi berkata, suspek yang ditahan tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan berdasarkan saringan air kencing mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan awal kita mendapati kumpulan ini bergerak ke taman perumahan atau kawasan kejiranan sekitar Alor Setar dan mencari kediaman yang mempunyai kenderaan seperti motosikal atau kereta untuk dipecah masuk.

“Suspek bertindak mengikut peranan diberi dengan beberapa ahli kumpulan bertindak sebagai peninjau dan menyalurkan maklumat berkenaan kepada rakan jenayah yang akan memecah masuk sebelum melarikan barang berharga termasuk kenderaan,” katanya.

Menurutnya, kereta atau motosikal yang dicuri disimpan di tempat terpencil sebelum dijual.

“Dengan penangkapan ini, sebanyak 15 kes pecah rumah dan curi kenderaan berjaya diselesaikan dan kita berjaya merampas Toyota Vios dan Toyota Harrier, empat motosikal dan lima rangka motosikal yang dibuang ke Sungai Peremba,” katanya.

Mohd Rozi berkata, polis juga memburu dua lagi ahli kumpulan itu dikenali sebagai Mohamad Fairus Saad@Emy dan Khor Boon Chun@Ah Chee.

Suspek direman sehingga 19 Februari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379A dan 457 Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan dan pecah rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Februari 2017 @ 12:28 PM
Mohd Rozi menunjukkan kenderaan curi yang ditemui semula. (Gambar kecil) Mohamad Fairus Saad@Emy dan Khor Boon Chun@Ah Chee. FOTO Aizat Sharif
Mohd Rozi menunjukkan kenderaan curi yang ditemui semula. (Gambar kecil) Mohamad Fairus Saad@Emy dan Khor Boon Chun@Ah Chee. FOTO Aizat Sharif