Henry Golding tampil sebagai pengacara. FOTO Frontier Borneo
Henry Golding tampil sebagai pengacara. FOTO Frontier Borneo
Michelle Gun


Saluran Discovery bakal menyiarkan tiga program tempatan baru iaitu Frontier Borneo, Surviving Borneo dan Say Yes to the Dress Asia yang mengetengahkan budaya masyarakat serta keindahan negara ini dari sudut lebih berbeza.

Bermula dengan Frontier Borneo yang akan ditayangkan jam 9.55 malam ini (Selasa), program terbabit memaparkan perjalanan saintis, renjer dan pejuang pemuliharaan meneroka hutan tropika kepulauan Borneo ini.

Individu berkenaan turut berdepan pelbagai cabaran antaranya berdepan ancaman haiwan berbahaya, menyelesaikan masalah bom buatan dalam laut dan memasuki hutan yang belum diterokai.

Ia diikuti Surviving Borneo yang mengikuti pengacara Henry Golding melawat masyarakat Iban di Sarawak untuk mendalami budaya serta mengikuti ucapara suku kaum berkenaan.

Selain itu, Say Yes to the Dress Asia yang kini dalam proses penggambaran bakal memaparkan kisah pengantin wanita dari pelbagai bangsa di negara ini mencari busana perkahwinan idaman mereka.

Ketua Kandungan Asli Asia Tenggara, Discovery Networks Asia Pacific (DNAP), Bryan Seah berkata, kepelbagaian budaya dan keindahan Malaysia menjadi antara faktor utama Discovery berminat bekerjasama dengan produksi tempatan.

"Malaysia adalah pasaran penting bagi Discovery kerana bukan saja kaya dengan pelbagai budaya tetapi memiliki keindahan landskap menarik.

"Oleh demikian, Sarawak dan Sarawak menjadi lokasi pilihan Discovery untuk menghasilkan dua program baru," katanya dalam temu bual baru-baru ini.

Menurut Seah, Frontier Borneo dan Surviving Borneo berbeza dengan program terbitan stesen televisyen tempatan lain kerana mengetengahkan konsep segar dan berlainan.

"Memang terdapat banyak program televisyen mengenai Borneo. Namun, dalam Frontier Borneo, penonton akan menyaksikan bagaimana penduduk tempatan berjuang untuk memulihara alam persekitaran dan melindungi haiwan terancam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 11:29 PM