Abdullah (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani penajaan pendidikan AEON Credit dengan tiga universiti tempatan.
Abdullah (berdiri, dua dari kiri) menyaksikan majlis menandatangani penajaan pendidikan AEON Credit dengan tiga universiti tempatan.
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: AEON Credit Service (M) Sdn Bhd (AEON Credit), berharap pertumbuhan pembiayaan diluluskannya tahun ini terus kukuh pada kadar 20 peratus, sama seperti kadar peningkatan purata dari tahun ke tahun biarpun terdapat cabaran dalam keadaan ekonomi semasa.

Setakat 30 November 2016, pembiayaan boleh terima AEON Credit mencatatkan RM6.21 bilion, peningkatan 20.7 peratus daripada RM5.15 bilion yang dicatatkan setakat 30 November 2015, dengan pertumbuhan tinggi bagi portfolio pembiayaan peribadi dan kenderaan.

Pengerusinya Datuk Abdullah Mohd Yusof berkata, dalam keadaan ekonomi semasa yang mencabar, orang ramai masih memerlukan pembiayaan dan sebagai syarikat penyedia kewangan, pihaknya terus membantu secara berhemah.

Beliau berkata, peratusan hutang tidak berbayar (NPL) syarikat juga masih dalam keadaan terkawal iaitu 2.33 peratus setakat November 2016 dan berharap kadar itu masih sama pada tahun ini berbanding 2.68 peratus pada November 2015.

“Dengan cabaran ekonomi semasa, kos barangan tidak dinafikan meningkat dan orang ramai masih memerlukan pembiayaan terutama 25 peratus rakyat berpedapatan rendah di negara ini sukar mendapatkan pembiayaan daripada pihak bank.

“Maka, kami terus membantu golongan berkenaan kerana ini masa yang sesuai untuk membantu mereka memandangkan syarikat mempunyai portfolio pembiayaan yang besar sehingga mampu mencatatkan RM4 bilion transaksi perniagaan,” katanya pada majlis penyerahan penajaan pendidikan di sini.

Pada majlis itu, AEON Credit memperuntukkan RM800,000 bagi membiayai 20 pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM), Univerisiti Malaya (UM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Turut hadir menerima wang tajaan pendidikan daripada syarikat berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor USM, Prof Datuk Dr Adnan Hussein, Timbalan Naib Canselor UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof dan Naib Canselor UPM, Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris.

Abdullah berkata, aktiviti menyediakan tajaan pendidikan itu dilaksanakan secara tahunan dalam usaha membantu golongan pelajar cemerlang tetapi tidak mempunyai kewangan mencukupi.

Menurutnya, pemilihan tiga univerisiti berkenaan berdasarkan prestasi baik serta mempunyai rekod cemerlang dalam kalangan institusi pendidikan tinggi di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Februari 2017 @ 5:01 AM