PENUAAN tidak menghalang warga emas untuk terus jalani hidup gembira.
PENUAAN tidak menghalang warga emas untuk terus jalani hidup gembira.
USIA tua tidak menghalang menjadi model peragaan.
USIA tua tidak menghalang menjadi model peragaan.
CHAN di pentas peragaan.
CHAN di pentas peragaan.
FELITA Lee menjadi wajah OHH Dear.
FELITA Lee menjadi wajah OHH Dear.
CHEUNG
CHEUNG
ALICE menggayakan rekaan jenama antarabangsa, Chanel.
ALICE menggayakan rekaan jenama antarabangsa, Chanel.
Susunan Yusliza Yakimir Abd Talib

Dengan jadual harian merangkumi peragaan, iklan dan kelas lakonan, Regina Chan, 58, kini menjalani kehidupan yang glamor.

“Ia satu pekerjaan yang bermanfaat, bukan dari segi ganjaran kewangan, tetapi bagi saya ia melengkapkan kehidupan,” katanya mengenai tugasnya.

Regina mula terbabit dalam perniagaan fesyen sejak lebih 20 tahun lalu, jadi menceburi bidang peragaan agak mudah dan dia mahu menggalakkan orang ramai yang meningkat usia tua untuk mencuba perkara baru.

“Perubahan bermula dari dalam diri kita sendiri,” katanya.

Pemergian ibu bapa Chan antara sebab dia mencuba bidang peragaan. Dia akui, sebaik saja ibu bapanya kurang aktif, mereka mula kehilangan memori dan bapanya akhirnya menghidap penyakit Alzheimer.

“Saya tidak mahu anak melihat saya terbaring lama di atas katil atau tak dapat mengingati nama mereka,” katanya.

Menjadi tua di Hong Kong semakin mencabar. Penduduk wilayah China itu dikelaskan di tangga agak buruk di dunia dari segi jaminan pendapatan warga tua menerusi hasil kajian Indeks AgeWatch Global. Kajian ini mengkelaskan keadaan penuaan penduduk di seluruh dunia yang dijalankan oleh organisasi bukan kerajaan, HelpAge Antarabangsa.

Menggunakan metodologi dalam Indeks AgeWatch Global, penyelidik di Universiti China Hong Kong meletakkan Hong Kong di tangga ke-79 daripada 97 negara dan wilayah dari segi kesejahteraan psikologi populasi warga tua.

Walaupun cabaran yang dihadapi oleh penduduk Hong Kong, kebahagiaan hidup pada hari tua tidaklah mustahil, kata Pengasas Agensi Model OHH Dear Communications, Zip Cheung dalam temu bual bersama South China Morning Post.

“Visi utama OHH Dear yang dihormati adalah untuk menyebarkan mesej penuaan boleh menjadi sesuatu yang menarik. Ia tiada kaitan dengan kekayaan atau latar belakang pendidikan. Ia bergantung kepada bagaimana anda berfikir, bagaimana anda ingin menjadi tua,” katanya.

OHH Dear kini mempunyai 30 model, termasuk Regina manakala model paling tua berusia 93 tahun.

Ditubuhkan pada 2015, moto OHH Dear ialah ‘Perak ialah warna hitam yang baru.’ Cheung menyedari peluang perniagaan dikenali sebagai ‘ekonomi perak’ kini berkembang pesat di peringkat global, didorong oleh teknologi dan penuaan yang pesat.

Terdapat semakin banyak pelan insurans dan kewangan, produk penjagaan kesihatan dan percutian sebagai contoh, yang menyasarkan pelanggan lebih tua dengan pendapatan bersesuaian.

Selain itu, permulaan menyediakan produk dan perkhidmatan yang inovatif kepada mereka berusia lebih 50 tahun, telefon pintar mesra warga tua, aplikasi temu janji dalam talian dan latihan teknologi muncul di seluruh dunia.

Mereka memerlukan wajah yang matang untuk iklan televisyen, iklan dan risalah malah iklan menampilkan keluarga juga memerlukan seseorang untuk memegang watak nenek.

Cheung, 30, berkata itulah antara sebab OHH Dear diwujudkan, namun bukan hanya mengambil gambar dan menjual produk, sebaliknya mahu menyampaikan mesej jenamanya - meningkat tua masih boleh menjadi menarik.

Katanya, sebagai bekas wartawan, dia kerap menyaksikan bagaimana paparan media berkaitan warga tua dengan penurunan kognitif, penyakit dan kematian serta bagaimana masyarakat melihat penuaan sebagai tidak menyeronokkan apabila warga emas dilihat sebagai lemah, mudah lupa atau nyanyuk, stereotaip yang sering disebarkan oleh media.

Tahun lalu, satu kajian oleh Universiti Southern California yang mengkaji 100 filem berpendapatan tinggi Hollywood membuat kesimpulan, orang tua dalam filem ‘kurang diwakili, salah karakter dan dihina oleh bahasa penuaan.’

Untuk bahasa penuaan, seseorang hanya perlu melihat pengumuman televisyen kerajaan Hong Kong yang menggalakkan anak muda membantu orang tua melintas jalan atau televisyen tempatan menunjukkan adegan orang tua terjatuhkan beg buah-buahan dan memerlukan bantuan untuk mengambilnya. Ini gambaran halus tetapi meluas dan mendedahkan salah tanggapan serta ketinggalan zaman, diskriminasi terhadap warga emas.

Cheung percaya kerajaan juga perlu dipersalahkan. Penduduk tua digambarkan sebagai bebanan. Pihak berkuasa sering menekankan bagaimana secara purata, anak muda perlu peruntukan masa untuk orang tua. Mereka menggambarkan isu itu dengan cara warga tua dilihat sebagai beban kepada masyarakat.

Pandangan ini memberi kesan buruk kepada orang tua di Hong Kong. Indeks dikumpul oleh Institut Penuaan Jockey Club Universiti China meletakkan Hong Kong di tangga ke-79 daripada 97 negara dan wilayah untuk kesihatan psikologi bagi warga tuanya.

Lantaran itu, Cheung berharap dapat menggalakkan sikap yang positif terhadap penuaan, salah satunya meraikan hari emas kita.

“Berurusan dengan penduduk yang semakin tua adalah kompleks dan membabitkan polisi berbeza seperti persaraan, pencen dan penjagaan kesihatan. Terdapat juga keperluan untuk melakukan penjenamaan serta menggunakan kaedah lembut untuk menarik perhatian orang ramai.

“Inilah sebabnya mengapa saya mahu membezakan kerja peragaan daripada hobi untuk membuktikan warga tua masih mempunyai kuasa pendapatan. Oleh kerana kami bekerja dengan orang tua, masyarakat cenderung untuk mengaitkan kami dengan perkhidmatan kebajikan sosial dan bertanya jika kami ialah badan amal.

“Saya perlu menjelaskan ini tugas sebenar. Saya menegaskan ini satu bentuk pekerjaan dan kerana mereka profesional, mereka perlu dibayar,” katanya.

Visi Cheung supaya OHH Dear satu hari nanti tidak lagi menjadi pusat tumpuan kerana warga tua mampu memecahkan stereotaip dan hidup penuh makna. Peragaan hanya satu cara dan bukan yang terakhir.

“Peragaan menarik perhatian. Tidak semua orang mahu menjadi model tetapi anda boleh melakukan perkara lain untuk membabitkan diri dan rasa gembira. Anda boleh mengecat, berlari, melakukan tai chi atau berenang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2017 @ 11:18 AM