TEMPAT tinggal seorang profesor di Hong Kong yang disyaki membunuh isterinya. Foto AFP
TEMPAT tinggal seorang profesor di Hong Kong yang disyaki membunuh isterinya. Foto AFP
AFP

SEORANG profesor dari Universiti Hong Kong ditahan kerana disyaki membunuh isterinya selepas polis menjumpai mayat yang disumbat dalam beg pakaian di pejabatnya, kes bunuh terbaru yang mendapat tumpuan ramai di Hong Kong.

Anggota polis menemui mayat wanita berseluar dalam dengan lehernya dililit wayar elektrik dalam beg pakaian yang diletakkan di dalam kotak kayu besar di pejabat Profesor Madya Cheung Kie-chung, 53.

Sebelum ini, Cheung, dari Jabatan Kejuruteraan Mekanikal sudah melaporkan kehilangan isterinya pada 20 Ogos lalu dan menyatakan dia tidak pulang ke rumah selepas mereka bertengkar.

Polis berkata, mereka mengesyaki Cheung bertanggungjawab selepas rakaman CCTV tidak menunjukkan isterinya keluar dari rumah mereka sementara Cheung dilihat membawa keluar sebuah kotak kayu besar dari premis itu.

Petang semalam, polis melakukan pemeriksaan di pejabat Cheung yang hanya mengambil masa lima minit dari asrama di mana dia tinggal bersama isteri dan anaknya.

“Ada banyak darah yang keluar dari beg itu dan ia berbau busuk,” kata Superintendan Law Kwok-hoi kepada wartawan semalam.

Katanya lagi, mangsa mungkin dijerut dan identiti serta punca kematian hanya dapat diketahui selepas bedah siasat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 5:29 PM