SHARON menerima rawatan kecemasan dari anggota JPAM Kuala Pilah.
SHARON menerima rawatan kecemasan dari anggota JPAM Kuala Pilah.

Kuala Pilah: “Mujur ada pendaki lain memberi bantuan awal sebelum kami tiba. Jika tidak, mungkin keadaan mangsa lebih teruk,” kata Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Pilah Majeran Lon yang mengetuai misi menyelamat seorang pendaki yang patah kaki di Gunung Angsi, di sini, kelmarin.

Mangsa, Sharon Benty, 26, bersama seorang lagi rakan dari Kuala Lumpur mendaki Gunung Angsi menggunakan laluan di Jeram Kak Lang, kira-kira jam 9 pagi dan kemudian turun menggunakan Jalan Bukit Putus Lama.

Majeron berkata, setibanya di pertengahan jalan, mangsa dilaporkan tergelincir sebelum tersungkur menyebabkan kaki kirinya patah.

“Kami menerima panggilan kecemasan pada jam 1.10 petang sebelum menggerakkan sebuah ambulans bersama empat anggota ke lokasi bagi menghulurkan bantuan segera.

“Kami mengambil masa kira-kira 45 minit untuk tiba ke lokasi mangsa terjatuh. Ketika ditemui, mangsa sudah diberikan bantuan kecemasan oleh sekumpulan pendaki kumpulan lain dengan membuat kain menggunakan sehelai baju,” katanya.

Beliau berkata, anggota JPAM memberi bantuan awal sebelum mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Oktober 2015 @ 8:52 AM