YAHIA bersama keluarganya bergambar berlatarbelakangkan bendera Palestin.
YAHIA bersama keluarganya bergambar berlatarbelakangkan bendera Palestin.

Antara 4,000 penghuni di sebuah kem yang diuruskan kerajaan Iraq bagi menyediakan perlindungan kecemasan kepada pelarian tempatan, terdapat 18 keluarga Palestin yang menumpang untuk berlindung.

Kem IDP Baharka itu terletak berhampiran bandar Erbil di wilayah Kurdistan, diuruskan oleh Yayasan Amal Barzani dan Majlis Pelarian Erbil.

Dilahir dan dibesarkan di Baghdad, lelaki Palestin berusia 30 tahun, Yahia Mahmoud sudah menetap di kem itu sejak dua tahun lalu.

Tanpa kebenaran untuk membolehkan dia bekerja, mengembara atau membina kehidupan sebagai warganegara serta tiada tempat lain untuk dituju, Yahia bersama keluarganya, seperti pelarian Palestin yang lain di Iraq, terperangkap dalam kitaran yang memencilkan mereka, penindasan dan perpindahan berterusan.

Bagi keluarga ini, seperti kes kebanyakan penduduk Palestin, identiti mereka sebagai pelarian tanpa kerakyatan diwarisi dari generasi ke generasi.

Ibu bapa Yahia juga dilahirkan sebagai pelarian di Iraq. Datuknya melarikan diri dari Palestin ketika penghijrahan beramai-ramai pada 1948 yang dikenali sebagai Nakba yang menyaksikan kira-kira 700,000 penduduk Palestin diusir dari rumah mereka oleh rejim Zionis.

Yahia menghabiskan sebahagian besar zaman kecilnya di kem pelarian sekitar Baghdad.

Selepas berterusan berpindah dari satu kem ke kem lain sepanjang hidupnya dengan terbaru akibat melarikan diri daripada Daish di Ramadi, dia kini tinggal di kem Baharka bersama isteri dan dua anak, abang serta saudara mara yang lain.

Pada Ogos 2016, ibu Yahia, Hudda Awad, meninggal dunia pada usia 57 tahun, akibat kanser.

Selama empat bulan dia tidak dapat meneruskan rawatan kemoterapi di Erbil.

Bagi Yahia, antara punca ibunya tidak diberikan rawatan ialah kerana keturunannya.

“Mereka tidak membenarkan dia menjalani rawatan kerana kos terlalu mahal dan kami keturunan Arab, bukan Kurdis,” katanya.

Sementara itu seorang lagi pelarian Mahmoud dan keluarganya, pilihan mereka amat terhad.

Terdesak untuk memberikan masa depan yang lebih cerah dan selamat untuk anak, Mahmoud berharap satu hari nanti dia dapat meninggalkan Iraq untuk mencari peluang membina kehidupan yang lebih baik untuk dia dan keluarganya sebagai rakyat dan bukannya pelarian.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Februari 2017 @ 5:04 AM