FOTO Effendy Rashid
FOTO Effendy Rashid
Yahya Awang


Taiping: Lelaki dan wanita cedera diserang gajah di Kilometer 20, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dekat Rancangan Penempatan Semula Banun, Gerik, dekat sini.

Mangsa, Poh Keat Chye , 46, patah tiga tulang rusuk dan mengalami pendarahan dalaman dipercayai akibat dipijak gajah, dalam kejadian 5.30 petang.

Rakan niaganya, Edris Suparti, 40, juga patah tulang rusuk dipercayai terjatuh ketika cuba menyelamatkan diri daripada serangan haiwan itu.

Kedua-dua mangsa kini dirawat di Hospital Taiping dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Robert Poh, 60, iaitu abang Keat Chye, berkata adiknya memberhentikan kereta di tepi jalan untuk membuang air besar manakala rakan niaganya menunggu di luar kenderaan.

"Adik saya berjalan kira-kira 20 meter ke kawasan hutan di tepi jalan itu sebelum terlihat satu objek besar warna kelabu yang disangkakan batu, sebelum ia bergerak dan adik saya mula sedar ia adalah gajah.

"Gajah berkenaan kemudian menolak adik saya menggunakan belalai hingga jatuh dan memijak bahagian kiri belakang badan adik," kataya ketika ditemui di Hospital Taiping, di sini, hari ini.

Menurutnya, rakan adiknya yang terkejut melihat keadaan itu cuba lari namun terjatuh dan mengalami turut patah tiga tulang rusuk.

“Dalam kesakitan, rakan adik saya itu kemudian memandu kereta ke Hospital Gerik untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 1:37 PM