Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Gerik: "Dalam keadaan jalan sesak dan tiada tandas sepanjang jalan menyebabkan bapa saudara terpaksa membuang air besar di kawasan itu kerana mengalami cirit-birit," kata Shaheeza Mohd Sakmi, 49.

Shaheeza adalah anak saudara kepada Ahmad Nazri Osman, 55, yang diserang termasuk dipijak gajah di Batu 11 dekat Tugu Peringatan, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, di sini, Khamis lalu.

Menurutnya, bapa saudaranya kini ditidurkan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat parah termasuk patah 10 tulang rusuk hingga menyebabkan berlaku kebocoran pada paru-paru, selain patah kaki kanan.

Menceritakan semula kejadian kira-kira 6.30 petang, Shaheeza yang mesra disapa 'Ija' berkata, sebelum kejadian bapa saudaranya mengikuti rombongan keluarga termasuk beberapa sepupunya bersiar-siar ke sekitar kawasan Pulau Banding di Gerik.

Menurutnya, mereka menaiki dua kereta dan dalam perjalanan pulang ke Felda Bersia, Gerik, tetapi dia tidak mengikuti ahli keluarga berkenaan.

"Bagaimanapun, saya sempat berjumpa mangsa di Felda Bersia kira-kira beberapa jam sebelum kejadian dan bergerak pulang ke rumah di Lenggong sekitar 5 petang.

"Akibat tiada kemudahan tandas sepanjang jalan ditambah kesesakan lalu lintas sempena Aidilfitri serta cirit-birit membuatkan 'konvoi' dua kereta berkenaan berhenti di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, dia juga sedia maklum ramai netizen mempersoalkan kenapa bapa saudaranya membuang air besar di kawasan itu.

"Mesti ramai faham bila tiada tandas, jalan sesak dan bapa saudara pula mengalami sakit perut teruk membuatkan dia 'turun' mencari anak sungai untuk 'melepaskan hajat'.

"Keadaan pada masa itu mungkin buatkan mereka terdesak dan berhenti di situ," katanya.

Bercerita lanjut, Shaeeza berkata, dia difahamkan oleh saudara-maranya yang mengikuti konvoi itu bahawa ibu saudaranya yang juga isteri mangsa turut berada di tempat kejadian bahkan sempat 'turun' bersama menuju anak sungai bagi menemani suaminya.

"Namun, ibu saudara sempat naik semula ke atas dan terus memasuki kereta untuk menyorok sebaik ternampak gajah di kawasan itu yang dikatakan terdapat dua ekor sedang menyorok di semak.

"Tidak berapa lama selepas itu gajah berkenaan dikatakan 'naik' ke atas jalan raya dalam keadaan seolah-olah mengamuk hingga memaksa dua kenderaan dinaiki keluarga kami terpaksa mengundur.

"Kira-kira 10 minit selepas gajah berkenaan kemudian beredar. Apabila situasi dilihat selamat barulah sepupu 'turun' ke bawah bagi mencari bapa saudara sebelum dia ditemukan dalam keadaan tertiarap, namun masih sedar ketika itu," katanya.

Katanya, bapa saudara bercerita bagaimana gajah menyerangnya termasuk memijak kakinya, namun isterinya sehingga kini masih trauma kerana terkejut dengan kejadian itu.

Terdahulu, media melaporkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengesahkan kejadian seorang lelaki parah akibat dipijak gajah sewaktu mangsa membuang air besar di anak sungai berhampiran.

Lelaki parah dipijak gajah alami patah rusuk, kaki kiri dan pendarahan kepala

Lelaki parah dipijak gajah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 2:39 PM