IKLAN yang disiarkan syarikat berkenaan berserta dengan gambar suspek utama pembunuhan Jong-Nam. - Agensi
IKLAN yang disiarkan syarikat berkenaan berserta dengan gambar suspek utama pembunuhan Jong-Nam. - Agensi

Beijing: Sebuah syarikat China cuba mengaut keuntungan dengan menjual baju ‘LOL’ pada harga 6,324 yuan (RM4,100) selepas baju berkenaan digunakan oleh seorang suspek dalam pembunuhan Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un.

Dalam iklan yang disiarkan syarikat berkenaan, imej CCTV suspek utama pembunuhan itu juga digunakan dengan kata-kata berbunyi ‘baju yang sama dipakai oleh pengintip wanita Korea Utara.’

Bagaimanapun, iklan itu yang menawarkan lima saiz berbeza ditarik balik daripada platform beli-belah terbesar China, Taobao selepas ia tersebar secara meluas di Internet.

Wanita di dalam gambar itu dikenali sebagai Doan Thi Huang, 28, dan dipercayai warga Vietnam.

Dia disyaki antara dua wanita yang menyerang Jong-Nam dari belakang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 dan membunuhnya menggunakan racun.

Wanita itu ditangkap ketika cuba menaiki pesawat di terminal sama.

Polis berkata, mereka mengenal pasti wanita itu menerusi rakaman CCTV sebagai wanita yang berpakaian LOL. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Februari 2017 @ 10:09 AM