KHAIRY (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara  Kurashima (kanan) dengan Zolkples semalam.
KHAIRY (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Kurashima (kanan) dengan Zolkples semalam.

Putrajaya: Penajaan bagi Sukan SEA Ke-29 dan Sukan Para ASEAN Ke-9 Kuala Lumpur 2017 (KL 2017) sudah mencapai 77 peratus atau RM61.95 juta daripada jumlah sasaran sebenar RM80 juta.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, jumlah itu berjaya dikumpul Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (MASOC) dengan menerima tajaan tunai RM18.05 juta berbanding sasaran iaitu RM30 juta.

“Malah, kita juga sudah mengumpul tajaan dalam bentuk produk dan perkhidmatan bernilai RM43.9 juta dengan sasaran RM50 juta bagi menjayakan KL 2017 kali ini.

“Saya juga yakin sasaran penajaan RM80 juta itu mampu dicapai dalam tempoh dua hingga ke tiga bulan lagi walaupun dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MASOC dan Ajinomoto Co Inc (Ajinomoto Co) sebagai penaja Platinum bagi KL 2017 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, semalam.

Pada majlis itu, MASOC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Zolkples Embong manakala Ajinomoto Co diwakili Naib Presiden Korporat (Pengurus Besar Bahagian ASEAN) Kaoru Kurashima.

Khairy berkata, melalui perjanjian berkenaan, Ajinomoto Co bersetuju menjadi penaja platinum bagi temasya sukan berkenaan dan setakat ini syarikat dari Jepun itu menjadi penaja tunai terbesar kepada KL 2017. Bagaimanapun, jumlah tajaan tidak didedahkan bagi menghormati permintaan penaja.

“Ajinomoto Co juga adalah syarikat pertama daripada luar rantau Asia Tenggara yang menaja KL 2017 yang mampu menjadikan temasya Sukan SEA dan Para ASEAN ini mempunyai nilai pasaran tinggi di peringkat antarabangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 9:46 AM