PARIT Kudus FC ceria selepas menjuarai Liga Daerah Pontian 2014.
PARIT Kudus FC ceria selepas menjuarai Liga Daerah Pontian 2014.
Oleh Togi Marzuki

 

Pontian: Sejumlah 16 pasukan menyertai Kejohanan Liga Bola Sepak Daerah Pontian 2014 di Mini Stadium Pontian, baru-baru ini yang menyaksikan pasukan Parit Kudus FC muncul juara.

Parit Kudus FC menewaskan Galatica FC, 3-1 pada perlawanan akhir sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan serta pingat.

Galatica FC yang terpaksa berpuas hati selaku naib johan menerima hadiah wang tunai RM2,000.

Tempat ketiga pula disandang pasukan Cempaka FC, keempat milik Tanjung Bin Pawer, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM500.

Hadiah disampaikan Timbalan Pengerusi Persatuan Bola Sepak Pontian Baru 2014 Datuk Mohd Sumali Reduan.

Pengurus kejohanan merangkap Ahli Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Pontian Baru Asri Sarbin berkata, walaupun cuaca tidak menentu sepanjang kejohanan berlangsung, namun ia tidak menghalang pemain mempamerkan kehebatan masing-masing serta semangat kesukanan yang tinggi.

Menurutnya, kejohanan itu dianjurkan bagi menyemai semangat perpaduan masyarakat setempat, selain dapat mengeratkan hubungan serta semangat setia kawan.

“Kekalahan bukan bererti satu kelemahan, pasukan yang bertanding sebaliknya mampu menjadi inspirasi dan pendorong bagi mengatur strategi untuk lebih berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, tiada had usia bagi setiap pasukan antara syarat ditetapkan, tetapi setiap pasukan perlu menyenaraikan tiga pemain bawah 19 tahun.

Kejayaan Parit Kudus FC dan Galatica FC ke perlawanan akhir itu juga melayakkan mereka mewakili daerah Pontian ke pertandingan antara kelab bagi merebut Piala Menteri Besar Johor 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:14 AM