Empat individu dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi atas tuduhan kesalahan merusuh semasa perlawanan Liga Super Pulau Pinang lawan Sarawak di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. FOTO Amir Irsyad Omar
Empat individu dibawa ke Mahkamah Majistret Jawi atas tuduhan kesalahan merusuh semasa perlawanan Liga Super Pulau Pinang lawan Sarawak di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan. FOTO Amir Irsyad Omar
Shamsul Munir Safini


Nibong Tebal: Mahkamah Majistret Jawi, di sini, menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM7,000 ke atas empat penyokong bola sepak Pulau Pinang kerana merusuh.

Majistret Shamshol Azwa Martadza dalam pertuduhan berasingan juga memerintahkan seorang daripada mereka dipenjara empat hari dan didenda RM6,000 kerana memiliki suar.

Berdasarkan kertas pertuduhan, semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu selepas perlawanan Liga Super Pulau Pinang menentang Sarawak di Stadium Negeri, Batu Kawan pada jam 11.30 malam, 11 Februari lalu

Tertuduh, Muhamad Shahrin Abdullah, 19, Hafizi Harun, 31, Muhammad Faizrul Iqmal Zulkifli, 20, dan Abu Halim Yusof, 19, mengaku bersalah selepas pertuduhan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan dibacakan jurubahasa.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua minggu dan denda RM7,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Di mahkamah sama, Muhammad Faizrul Iqmal mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 sebelum dijatuhkan hukuman penjara empat hari dan denda RM6,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal membayar.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiq Nazrin Zaharinan manakala tiga tertuduh diwakili Foo Siee Peng daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan dan seorang lagi diwakili peguam Harbajhan Kaur.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Februari 2017 @ 12:17 PM