Nur Azmawati dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO  Zaman Huri Isa
Nur Azmawati dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu. FOTO Zaman Huri Isa
Muhamaad Razis Ismail

[email protected].

Kota Bharu: Seorang pembantu akauntan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bachok dipenjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, tadi, selepas mengaku salah membuat tuntutan palsu RM1,521.70, dua tahun lalu.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhkan hukuman itu selepas Nur Azmawati Shamsuddin, 35, mengaku salah terhadap tuduhan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara lapan bulan sekiranya gagal menjelaskan denda.

Mengikut pertuduhan, Nur Azmawati didakwa membuat tuntutan palsu atas nama suaminya, Nor Aznizi Mohamad Noor di PPD Bachok pada 5 Mei 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan dan denda tidak melebihi lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Shahidah Muslimah Roslan manakala tertuduh diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 12:42 PM