PENJARA Fuchu yang menempatkan banduan lelaki perlukan lebih ramai pegawai untuk menjaga banduan warga emas.
PENJARA Fuchu yang menempatkan banduan lelaki perlukan lebih ramai pegawai untuk menjaga banduan warga emas.
MESKIPUN hidup dalam pelbagai sekatan, ramai banduan warga emas Jepun lebih selesa tinggal di penjara.
MESKIPUN hidup dalam pelbagai sekatan, ramai banduan warga emas Jepun lebih selesa tinggal di penjara.
Norlaila Hamima Jamaluddin


Jadual hariannya sama setiap hari. Bangun pada jam 6.45 pagi, bersarapan 20 minit kemudian dan melapor diri di tempat kerja tepat pada jam 8 pagi. Kedengaran sama seperti mana-mana pekerja di Jepun, tetapi kehidupannya jauh berbeza.

Lelaki ini sudah berusia 80 tahun dan berada di dalam penjara namun sehingga kini, dia masih keberatan untuk meninggalkan ‘rumah’ bertirai besi itu.

“Saya tidak tahu apa bentuk kehidupan yang akan saya jalani selepas keluar dari sini. Saya bimbangkan kesihatan dan keadaan kewangan jika hidup di luar sana,” katanya kepada wartawan AFP ketika ditemui di Penjara Fuchu di Tokyo. Warga emas yang dirahsiakan namanya itu dipenjarakan selepas didapati bersalah kerana cubaan mencuri.

Kalau dilihat pada umur, mungkin kita hairan bagaimana orang tua boleh melakukan jenayah. Namun kes lelaki itu bukan perkara ganjil kerana Jepun kini berdepan dengan gelombang jenayah dalam kalangan warga emas. Ini kerana ramai yang melihat penjara sebagai pusat penjagaan bagi orang tua.

Keadaan itu menjadi lebih teruk apabila kerajaan Jepun meluluskan pelan untuk menghantar petugas penjagaan kesihatan ke 35 penjara bermula April ini dengan peruntukan 58 juta yen (RM2.2 bilion).

Menurut Agensi Polis Nasional Jepun, pada 2015, hampir 20 peratus mereka yang ditangkap atau disoal siasat oleh polis berumur 65 tahun ke atas, meningkat 5.8 peratus berbanding pada tahun 2000.

Kebanyakan pesalah dipenjarakan kerana melakukan jenayah kecil seperti mencuri barang di kedai.

Berdasarkan laporan agensi itu pada 2013, peningkatan jenayah dalam kalangan warga emas ini juga disebabkan oleh faktor ekonomi yang semakin mendesak, bertambahnya jumlah penduduk yang tua dan ketamakan.

“Masalah ini menjadikan tugas kakitangan penjara kini seolah-olah bertukar menjadi penjaga rumah orang tua,” kata pegawai dari Kementerian Kehakiman Shinsuke Nishioka. Keadaan kini jauh berbeza dengan tugas kakitangan penjara yang dulunya perlu memastikan banduan tidak cuba melarikan diri.

Kakitangan di Penjara Fuchu, pusat pemulihan untuk pesalah lelaki yang terbesar di Jepun juga tidak terkecuali. Mereka juga perlu menukar lampin pakai buang sesetengah banduan selain membantu memandikan mereka.

“Banduan yang tua kadangkala ada masalah pendengaran. Mereka tidak faham arahan dan perlu selalu ke tandas. Sekarang tugas kakitangan penjara semakin berat dan kami perlukan lebih ramai pekerja,” katanya.

RELA HIDUP DALAM SEKATAN

Dalam menangani isu ini, pihak berkuasa diberikan lampu hijau untuk menghantar pakar kecergasan fizikal ke penjara bagi memenuhi keperluan penjagaan banduan warga emas.

Bunyi macam indah, namun kehidupan dalam penjara di Jepun tidaklah mudah. Ketika bekerja, banduan tidak dibenarkan bercakap, mereka mesti berjalan dalam satu barisan dan dilarang mandi.

Malah dalam ‘majlis keraian’ atau hiburan yang jarang diadakan, mereka hanya dibenarkan duduk dalam barisan lurus dan tangan perlu diletakkan di atas paha. Bahkan, mereka juga dilarang bertepuk tangan!

Walaupun kehidupan dalam penjara banyak pantang larang dan sekatan, namun ramai yang memilih untuk terus tinggal di situ kerana mereka ada tempat berlindung, tidak perlu bimbang soal makanan dan penjagaan kesihatan.

“Meskipun terkurung, di dalam penjara mereka ada tempat berteduh dan makanan,” kata pensyarah di Pusat Pengajian Perkhidmatan Sosial Universiti Fordham, Tina Maschi.

Menurut Pegawai Kebajikan di Fuchu, Yukie Kuwahara, kebanyakan banduan akan resah apabila hari mereka dibebaskan semakin hampir.

“Dalam penjara, mereka tidak perlu bimbang mengenai keperluan harian,” katanya.

Malah, kadar ulang laku jenayah bagi pesalah berumur 65 tahun ke atas juga tinggi. Menurut data kerajaan, kira-kira 70 peratus pesalah warga emas ini kembali ke penjara dalam tempoh lima tahun.

“Sebabnya mudah. Ramai bekas banduan kembali ke penjara kerana amat sukar untuk mereka memulakan hidup dan mempunyai pendapatan sendiri,” kata penyelidik kanan di Institut Penyelidikan NLI Akio Doteuchi.

“Amat sukar untuk bekas banduan memiliki rumah dan pekerjaan. Mereka juga akan hidup terasing kerana kini semakin ramai orang memilih untuk tinggal sendirian,” katanya.

Untuk memperkasakan banduan, Penjara Fuchu menawarkan bantuan dengan mengadakan latihan memohon pekerjaan dan taklimat mengenai perkhidmatan keselamatan sosial sebelum mereka dibebaskan.

Malah disediakan juga rumah persinggahan sementara untuk membantu bekas banduan membiasakan diri dengan kehidupan di luar penjara khususnya pada awal pembebasan.

Antara rumah persinggahan itu ialah Ryozenkai di Tokyo. Bekas banduan yang sihat boleh mengikuti kelas komputer, kelas peradaban dan diberikan makan malam sepanjang 16 minggu mereka tinggal di situ.

Namun menurut pegawainya, Terumi Obata, tempoh empat bulan yang diberikan itu terlalu pendek kerana dia percaya bekas banduan berisiko tinggi melakukan jenayah lagi jika tidak mendapat sokongan sewajarnya.

“Memang tidak dapat dinafikan kestabilan kewangan itu penting. Tetapi, membantu bekas banduan membina kepercayaan dengan orang lain dan mengajar mereka perkara yang baik juga tidak kurang pentingnya,” kata Obata.

Perkara itu penting kerana katanya ramai banduan pernah didera atau membesar dalam rumah tangga yang pincang dan membuatkan mereka kurang keyakinan diri.

Jadi, usaha menghubungkan penjara dengan dunia luar boleh membawa banyak perubahan ke dalam kehidupan banduan.

“Kehidupan di luar penjara sebenarnya lebih sukar,” kata seorang bekas banduan wanita yang kini menikmati hari tuanya dengan tenang. Wanita berusia pertengahan 60-an itu menghabiskan 15 tahun di dalam penjara kerana membunuh.

“Semua yang ada dalam masyarakat sudah banyak berubah, termasuk telefon bimbit dan mesin beli tiket,” katanya ketika dia menunggu kereta api.

Dia berjaya mendapatkan kerja sebagai tukang cuci selepas menjalani latihan di rumah persinggahan sementara. Wanita itu berkata dia sudah membuka lembaran baru dalam hidupnya dan bersumpah tidak mahu kembali ke penjara.

“Saya mahu terus bekerja supaya sebahagian daripada gaji saya boleh diberikan kepada keluarga mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Februari 2017 @ 5:02 AM