GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Keadaan banjir di negeri ini semakin pulih selepas jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terus berkurangan.

Sehingga 4 petang tadi, 599 mangsa daripada 160 keluarga masih berada di PPS berbanding 658 daripada 179 keluarga pada 12 tengah hari.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, mangsa banjir yang masih ditempatkan di 13 PPS di Segamat berkurangan daripada 128 keluarga membabitkan 484 orang pada 12 tengah hari tadi, kepada 425 mangsa daripada 109 keluarga.

"Tiada perubahan pada jumlah mangsa yang masih berada di dua PPS di Muar iaitu seramai 169 orang daripada 49 keluarga sejak 2 petang semalam.

"Di Tangkak juga, masih kekal dengan lima mangsa daripada dua keluarga yang ditempatkan di sebuah PPS daerah itu," katanya.

Ayub berkata, Jalan Kampung Sungai Pinggan dekat Pontian yang sebelum ini ditutup kerana jambatannya runtuh masih belum dapat dibuka untuk laluan kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2017 @ 5:14 PM