AFP

Ramsbury (United Kingdom): "Anda pasti terasa seperti seekor burung," kata juara perlumbaan drone berusia 16 tahun Luke Bannister sejurus sebelum menerbangkan quadcopter ke udara dengan ketepatan serta kepantasan mengagumkan.

Dengan penggunaan drone kian meningkat serata dunia, perlumbaan itu ibarat ‘orang pertama melihat’ (FPV) malah benar benar hidup berbanding melihat kapal terbang daripada bawah kerana juruterbang menggunakan set kepala dan memandu dengan kamera dibawa bersama untuk pemandangan.

Drone memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian - bermula dari penghantaran barang hinggalah ke rakaman video termasuk mengawal keselamatan di ladang. Ia kini hanya menunggu masa sebelum membuat penampilan sulung dalam dunia sukan.

Pertandingan FPV adalah pertarungan juruterbang bersaing satu sama lain di trek perlumbaan dengan mereka seolah olah duduk dalam kokpit secara fizikal.

Dengan menggunakan gogel, Bannister, seorang penuntut British menjadi terkenal menerusi nama samaran "BanniUK", mempertajamkan kemahiran di sebuah taman di Ramsbury berhampiran sebuah desa di Wiltshire di barat daya England.

Kebanyakan model perlumbaan jenis quadcopter memiliki empat bilah dan mampu mencapai kelajuan mencecah 100 kilometer (60 bsj) sewaktu perlumbaan.

Setiap drone berharga antara 230-350 euros (RM1,000-1,700) dengan set kepala berharga sekitar 300-400 euros (RM1,400-1,900).

"Apabila gogel diletakkan di kepala seseorang akan berasa seperti berada dalam drone itu," kata anak muda itu.

"Ia pengalaman menakjubkan," katanya.

"Apa lebih menarik ia boleh dibanding dengan menerbangkan jet pejuang terbang pada ketinggian sangat rendah dan berkelajuan tinggi. Ia mengagumkan seolah olah ada tambahan dalam fizikal anda."

Bannister merasai pengalaman pertama akrobatik udara sewaktu berumur 10 tahun - menerbangkan kapal terbang dua sayap diperbuat daripada polisterin yang dikendali alat kawalan jauh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2017 @ 4:04 PM