Rosli Ilham


Dungun: Jenazah pengidap leukemia, Muhammad Ramadhan Alias, 20, yang meninggal dunia di Madinah ketika dalam perjalanan untuk mengerjakan umrah, semalam dijangka dikebumikan di Madinah, kira-kira 6 petang ini waktu Malaysia.

Ibunya, Saibah Yaacub, 57, berkata, jenazah anak bongsunya itu akan kebumikan selepas solat Zuhur di Madinah kerana segala urusan dokumentasi sudah selesai.

Menurutnya, jenazah anaknya itu ketika ini masih berada di Hospital Al-Ansar dan akan dimandikan dan dikafankan sebelum dibawa untuk solat jenazah di Masjid Nabawi,

"Sebaik selesai segala urusan itu, jenazah Muhammad Ramadhan akan dikebumikan di tanah perkuburan berdekatan dengan masjid terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, dilaporkan Muhammad Ramadhan dari Kampung Beril, Paka meninggal dunia di Hospital Al-Ansar pada 11.20 pagi sebelum sempat berangkat ke Makkah untuk mengerjakan umrah selepas dia dan ibunya itu dibiaya ke Tanah Suci oleh Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BKUM) dan kerajaan negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2017 @ 3:27 PM