Operasi mencari dijalankan bomba mencari kanak-kanak yang lemas. Gambar Ihsan Bomba
Operasi mencari dijalankan bomba mencari kanak-kanak yang lemas. Gambar Ihsan Bomba
Muhamad Izzat Nasuruden


Bidor: Seorang kanak-kanak perempuan ditemui lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Gedung, Bidor, dekat Kampung Simpang Tiga, 12.45 tengah hari tadi.

Dalam kejadian itu, mayat Nur Liya Zafirah Yusman Rizal, 2, ditemui kira-kira dua kilometer dari rumahnya selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, mayat mangsa ditemui terapung oleh pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung.

"Kanak-kanak itu dipercayai terjatuh 11.35 pagi sebelum bomba dipanggil melakukan kerja mencari dan menyelamat sebelum mayatnya dijumpai setengah jam selepas operasi dijalankan.

"Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mohd Nazir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 12.17 tengah hari dan berjaya menemui mayat mangsa dalam keadaan tertiarap kira-kira dua kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2017 @ 3:38 PM