JKM mencari waris kepada bayi dan kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di dua lokasi berasingan di sekitar Petaling Jaya. FOTO ihsan JKM
JKM mencari waris kepada bayi dan kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di dua lokasi berasingan di sekitar Petaling Jaya. FOTO ihsan JKM
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mencari waris bayi dan kanak-kanak perempuan yang ditinggalkan di dua lokasi berasingan di sekitar Petaling Jaya.

Jurucakap JKM Daerah Petaling berkata, bayi perempuan berusia sebulan itu ditemukan dalam kotak perlindungan bayi di Orphan Care Petaling Jaya pada 19 Julai lalu.

"Bayi yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri atau barangan itu kemudian dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk pemeriksaan lanjut.

"Pegawai JKM sudah membawa bayi itu ke Mahkamah Kanak-Kanak Petaling Jaya untuk mendapatkan perintah penjagaan sementara dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kanak-kanak perempuan berusia lima tahun iaitu Eclies Eid Damisya ditinggalkan penjaganya dipercayai ibu angkat yang dikenali sebagai Dayang Sarina kepada pengasuh sejak dua tahun lalu.

Katanya, insiden berkenaan dilaporkan oleh pengasuh Damisya kepada JKM.

"Pada awalnya, pengasuh memaklumkan bahawa penjaga kanak-kanak itu menghilangkan diri dan dia mahu memohon hak penjagaan kerana sudah lama menjaga Damisya serta sayang pada kanak-kanak itu.

"Kita sudah mendapat perintah jagaan sementara untuk membuat siasatan dan mengesan waris, justeru, JKM meminta waris termasuk ibu kandung kedua-dua mereka segera tampil bagi urusan hal penempatan dan penjagaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya boleh menghubungi Pegawai Pelindung Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Asmanizah Ahmad di talian 03-78422584/2587," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 10:42 AM