MINEIRO (kanan)  akan hadir temuduga AFC pada 21 dan 22 Februari.
MINEIRO (kanan) akan hadir temuduga AFC pada 21 dan 22 Februari.
Aziman Rosdi

Shah Alam: Tiada masalah buat pemain import baru Selangor Juliano Mineiro Fernandes diturunkan dalam perlawanan menentang PKNS FC di Stadium Shah Alam malam esok meskipun dipanggil Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) untuk memberikan keterangan berhubung statusnya bersama skuad kebangsaan Timor Leste.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Rosman Ibrahim berkata, Mineiro akan hadir bagi sesi temuduga AFC pada 21 atau 22 Februari ini namun tidak ada kaitan dengan penyertaannya bersama Selangor musim ini.

“Ini tiada kena mengena dengan FAS kerana mereka hanya mahu meneliti sama ada Mineiro boleh mewakili skuad kebangsaan Timor Leste atau tidak. Ini bukan perkara baru kerana ada pemain profesional di negara lain memiliki tiga pasport.

“Melainkan pasport Mineiro palsu, kalau sah maka dia memang rakyat Timor Leste dan boleh beraksi sebagai pemain import Selangor bagi kuota Asia,” katanya selepas majlis undian Kejohanan Piala FAM, Piala Presiden dan Piala Belia semalam.

Mineiro menandatangani kontrak enam bulan bersama Red Giants bagi mengambil alih tempat pemain Indonesia Andik Vermansyah yang kini masih belum pulih daripada kecederaan lutut dan dijangka kembali beraksi pada Mei ini.

Skuad kebangsaan Timor Leste pula baru-baru ini dilaporkan dihimpit dengan isu pemalsuan pasport 12 pemain kelahiran Brazil bagaimanapun Rosman mengesahkan Mineiro, bekas pemain Kashiwa Reysol, tidak terbabit.

“Mineiro pemain kelahiran Brazil tapi dia bukan dalam kalangan 12 pemain itu. Dia dipanggil AFC hanya untuk mengesahkan sama ada boleh beraksi dengan Timor Leste atau tidak.

“Apa yang pasti dia memiliki pasport Timor Leste dan layak beraksi dengan Selangor dalam kuota import Asia jadi di sini memang tiada masalah untuk bermain, terserah kepada jurulatih P Maniam untuk menurunkannya pada perlawanan dengan PKNS nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2017 @ 11:41 AM