MELALUI platform eAppointment dapat mengurangkan kesesakan di cawangan Bank Rakyat.
MELALUI platform eAppointment dapat mengurangkan kesesakan di cawangan Bank Rakyat.
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Bank Rakyat memperkenalkan perkhidmatan janji temu Ar-Rahnu secara dalam talian (online) yang dikenali sebagai eAppointment.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, ini adalah inisiatif Bank Rakyat untuk mengurangkan kesesakan di cawangan dan mencegah penyebaran Covid-19.

Katanya, pelaksanaan sistem baharu ini juga dapat membantu meningkatkan pengurusan masa pelanggan secara efisien serta mengurangkan masa menunggu pelanggan di premis bank.

"Melalui platform eAppointment, pelanggan boleh menetapkan hari, waktu dan lokasi cawangan yang berdekatan dengan cepat dan mudah.

"Pembangunan platform ini membabitkan beberapa fasa.

"Pada fasa pertama pelaksanaan, urusan janji temu ditawarkan kepada pelanggan baharu dan sedia ada untuk mendapatkan kemudahan gadaian dan tebus gadai.

"Pada fasa kedua, tempahan janji temu secara online ini juga akan dibangunkan untuk perkhidmatan pembayaran dan penebusan.

"Pelanggan digalakkan untuk memanfaatkan kemudahan ini yang bakal memberikan pengalaman dan kemudahan lebih baik kepada 356,000 akaun pelanggan Ar-Rahnu sedia ada," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, lebih-lebih lagi pada waktu pandemik ini, barangan emas boleh digadaikan bagi mendapatkan wang tunai serta-merta untuk melancarkan aliran tunai individu.

Beliau berkata, selain menyelesaikan keperluan aliran tunai individu, Ar-Rahnu adalah alternatif pembiayaan segera kepada peniaga, usahawan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergelut dengan kecairan disebabkan oleh persekitaran ekonomi serba mencabar ketika ini.

Dengan margin pembiayaan sehingga 80 peratus daripada nilai barangan gadaian, pelanggan hanya perlu membuat janji temu menerusi eAppointment bagi mendapatkan kemudahan tunai dengan segera.

Pelanggan boleh menggunakan platform eAppointment untuk membuat janji temu di 140 Cawangan Bank Rakyat dan 46 Ar-Rahnu X'Change milik Bank Rakyat di seluruh negara bermula 1 Julai ini dengan melayari appointment.bankrakyat.com.my.

Sementara itu, pelanggan yang hadir juga dinasihatkan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dengan mengimbas kod QR menggunakan aplikasi MySejahtera sebelum memasuki premis, memakai pelitup muka serta mengamalkan penjarakan fizikal ketika berada di dalam premis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Julai 2021 @ 7:00 AM