HANIS  menerima anugerah Pemain Remaja Terbaik.
HANIS menerima anugerah Pemain Remaja Terbaik.
Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Biarpun tewas di tangan Ireland pada perlawanan akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia 0-3 senyuman manis terukir di wajah pemain hoki wanita negara, Hanis Onn.

Perlawanan akhir kelmarin memberi satu pengalaman berharga buat pemain muda negara berusia 21 tahun dari Kluang, Johor itu apabila dinobat sebagai pemain remaja terbaik kejohanan yang dianggap kejayaan berganda buat dirinya.

Misinya bersama pasukan akhirnya terlaksana apabila skuad wanita negara melakar sejarah melayakkan diri buat kali pertama ke Separuh Akhir Liga Hoki Dunia.

Hanis memang langsung tidak menjangka mampu bergelar pemain remaja terbaik kerana apa yang penting adalah membantu skuad layak ke separuh akhir.

“Laluan kami untuk sampai ke tahap ini memang penuh berliku, namun apa yang kami korbankan akhirnya berbaloi dan impian ke pusingan ketiga menjadi kenyataan.

“Ini hadiah untuk semua rakyat Malaysia dan juga jurulatih (Muhammad Dhaarma Raj Abdullah),” katanya.

Final menentang Ireland kelmarin tidak dianggap sebagai perlawanan akhir kerana aksi menentang Itali lebih utama yang akan menentukan hala tuju skuad wanita.

Kata Hanis, dia berjanji untuk melakukan yang lebih baik selepas ini dan mahu menjaringkan gol pada setiap perlawanan tidak kiralah menentang pasukan kerdil atau lebih handal.

“Saya janji buat yang terbaik dan menjaringkan gol dalam setiap perlawanan kerana saya mahu membawa pasukan beraksi di Piala Dunia.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 10:39 AM