GAMBAR yang dirakam pada 11 Januari lalu menunjukkan satu kebakaran belukar di Pekanbaru, Riau. - Antara
GAMBAR yang dirakam pada 11 Januari lalu menunjukkan satu kebakaran belukar di Pekanbaru, Riau. - Antara
Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengarahkan semua pihak berkaitan bertindak cepat mencegah, menangani dan memadam kebakaran hutan dan belukar pada tahun ini.

Jokowi berkata, semua peralatan termasuk pesawat pemadam kebakaran harus sentiasa bersedia sekiranya ada kebakaran dikesan.

“Ada atau tidak kebakaran peralatan dan aset perlu disediakan.

“Jangan apabila kebakaran berlaku, barulah mahu menyewa pesawat. Ini sudah terlambat,” katanya.

Jokowi berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat bersama beberapa agensi berkaitan kebakaran hutan dan belukar di Istana Negara semalam.

Dia juga meminta gabenor di setiap wilayah tidak teragak-agak mengisytiharkan darurat di kawasan mereka sekiranya ada kebakaran dikesan.

“Petugas di lapangan sering berdepan dengan masalah prosedur tetapi apabila darurat diisytiharkan semua proses boleh dilakukan dengan cepat.

“Jangan tunggu api menjadi lebih besar kerana apabila kebakaran sudah merebak ia menjadi lebih sukar,” jelasnya.

Kebakaran hutan dan belukar berlaku hampir setiap tahun di Indonesia ketika musim kemarau yang dijangka bermula pada awal bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 January 2017 @ 8:59 AM